YAN: Limpahan air deras yang menghanyutkan serpihan pokok dan bongkah batu dalam kejadian ‘kepala air’ di Gunung Jerai di sini sehingga merosakkan kediaman penduduk di kaki gunung itu kelmarin mengundang tanda tanya.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah kampung di sini dan di Tupah, Merbok mendapati ‘lautan’ pokok dan kayu balak merosakkan beberapa kediaman, chalet, kawasan rekreasi, jambatan dan infrastruktur asas lain.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai sebagai punca tragedi itu, sebaliknya menegaskan kawasan itu telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan.
“Sebaliknya kejadian itu berlaku akibat fenomena kepala air yang turut membawa kayu-kayu balak berikutan arus terlalu deras,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam kelmarin.
Setakat ini, tragedi kepala air itu meragut empat nyawa dan operasi menyelamat dua lagi mangsa yang hilang masih dite-ruskan pihak berkuasa.
Seorang penduduk di Tupah, Mohd. Rosdi Mohd. Rashid, 62, berkata, dia terkejut apabila mendapati banyak balak dibawa arus dari Gunung Jerai dalam kejadian tersebut.
Katanya, dia tidak pernah melihat balak yang dibawa bersama arus deras dalam kejadian hujan lebat dan kepala air sebelum ini.
“Kebiasaannya, air sungai yang mengalir dari Gunung Jerai menjadi keruh selepas hujan, tetapi dalam kejadian kepala air semalam didapati banyak balak yang hanyut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bagaimanapun, Mohd. Rosdi berkata, sepanjang pengetahuannya tidak terdapat aktiviti penebangan balak dijalankan di Gunung Jerai di kawasan Merbok dan Tupah kerana ia diwartakan sebagai hutan simpanan.
“Namun jumlah balak yang banyak dihanyutkan ini menimbulkan pertanyaan dalam kalangan penduduk.
“Kita meminta pihak berkuasa melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar berlakunya arus deras ketika hujan lebat semalam,” katanya.
Sementara itu, penduduk di Kampung Tupah, Nordin Kamil, 58, berkata, selain mendapati balak yang dibawa arus deras itu patah, penduduk turut mendapati sebahagian daripada balak tersebut telah dipotong.
“Betul, ada sebahagian patah kerana reput tetapi ada juga yang dalam bentuk sempurna seperti telah ditebang untuk tujuan komersial.
“Kalau setakat air deras ekoran hujan lebat, kami tidak bimbang sangat, namun kemunculan balak ini yang membuatkan kami terkejut dan tidak menolak kemungkinan beberapa kawasan sekitar daerah ini telah diteroka secara haram,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyifatkan tragedi banjir itu merupakan kesan aktiviti pembersihan hutan.
Dalam satu kenyataan bersama, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dan Presiden SAM, Meenakshi Raman mempersoalkan kenyataan Muhammad Sanusi yang menyangkal dakwaan banjir tersebut bukan disebabkan oleh aktiviti pembalakan.
“Ia mungkin bukan pembalakan tetapi tentunya pembersihan hutan dan penebangan pokok. Banjir air dengan lumpur yang dilihat dalam video kejadian menunjukkan dengan jelas akti-viti pembersihan hutan,” katanya.
Kedua-dua mereka mendakwa, penduduk kampung di Bukit Singkir, Yan telah membantah projek kuari di Hutan Simpan Gunung Jerai sejak lebih daripada 15 tahun yang lalu.
“Kuari ini dibenarkan oleh kerajaan negeri ketika itu walaupun melanggar Rancangan Tempatan Daerah Yan. Seharusnya tidak ada pembukaan hutan di sini tetapi gambar dari Google menunjukkan banyak pokok te_lah dibersihkan dan operasi perlombongan dilakukan di kawasan sensitif terhadap alam sekitar ini.
“Semua kegiatan yang merosakkan ekosistem yang rapuh ini harus dihentikan segera, disiasat dan langkah-langkah pemulihan perlu diambil untuk mencegah tanda-tanda kemusnahan seperti aliran lumpur, tanah runtuh, dan banjir besar.
“Ini adalah amaran besar dan Menteri Besar mesti bertindak dan tidak memandang ini sebagai amaran Tuhan kerana ini memang merupakan aktiviti yang dilakukan oleh syarikat yang telah dibenarkan oleh kerajaan negeri yang bertentangan dengan Rancangan Tempatan Yan,” katanya.
Dalam pada itu CAP dan SAM juga mengingatkan bahawa Gunung Jerai adalah kawasan sensitif terhadap alam sekitar yang mesti dilindungi dan tidak dimusnahkan. – UTUSAN










