PETALING JAYA: Sebarang hasil siasatan terhadap kesalahan jenayah terutamanya membabitkan kesalahan berat perlu dimaklumkan kepada umum bagi mengelakkan kecurigaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, hasil sesuatu siasatan kesalahan jenayah perlu dimaklumkan sama ada mempunyai sebarang tindakan atau sebaliknya.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu menjalankan siasatan yang telus dan tidak cenderung kepada mana-mana parti politik.
“SPRM dan PDRM sebagai orang tengah kena siasat dan kenal pasti siapa angkaranya.
“Apabila ada laporan mengatakan orang cuba hendak bagi duit, maka itu satu kesalahan jenayah yang kena siasat. SPRM dari segi rasuah dan PDRM dari segi kenal pasti nombor telefon.
“Sama ada palsu atau tidak palsu, kena beritahu dekat umum supaya tidak menimbulkan kecurigaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, SPRM dan PDRM perlu mengamalkan sikap berkecuali dalam menyiasat dakwaan sogokan dan tawaran untuk lompat parti membabitkan wakil rakyat menjelang pembukaan sidang Parlimen, 6 September ini.
Bagaimanapun Musa berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penggunaan teknologi canggih yang pelbagai bagi menimbulkan nombor telefon berkenaan.
“Scammer pun boleh timbulkan nombor telefon balai polis, (jadi) jika mereka tak dapat hendak kesan, bagaimana hendak ambil tindakan?
“Namun kena beritahu pada orang awam sama ada itu adalah scammer atau saja-saja diadakan.
“Jika saja diadakan, buat laporan (boleh disabitkan atas) laporan palsu, jika kita dapat jejak orang yang sebenar, kita tangkap orang itu,” katanya.
Dalam pada itu, sumber persatuan bekas pegawai SPRM berkata, dakwaan sesebuah agensi pihak berkuasa itu tidak telus terutamanya membabitkan SPRM adalah tidak berasas kerana mereka tidak dipengaruhi atau ditekan mana-mana parti politik.
Katanya, hasil sesebuah siasatan itu sememangnya mengambil masa yang lama kerana perlu berdasarkan kepada bukti sesebuah laporan itu.
“Sejak kerja 30 tahun, tiada lagi campur tangan mana-mana pihak kerana kerja kita memang tidak ada tekanan politik.
“Contohnya, apabila saya tangkap orang kuat parti dahulu, tidak ada orang yang datang office (pejabat), bahkan kita ini tak kisah siapa naik (memerintah) pun,” katanya.
Tambahnya, permasalahan timbul apabila sesebuah laporan itu tidak mempunyai bukti yang kukuh dan sukar untuk dikenal pasti.
“Apabila kita tengok laporan itu tiada bukti, itu masalahnya, kecuali kita kenal pasti ada bukti kukuh,” katanya. – UTUSAN










