KUALA LUMPUR: Pegawai Perhubungan Awam dan Pemasaran syarikat Ratasya Empire (M) Sdn. Bhd. yang mengendalikan perniagaan jenama Loveta By Siti Sarah, Rizam Mahyuza Morsit, 42, mendedahkan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pernah menyatakan hasrat untuk berundur daripada dunia perniagaan sebelum ini.
Menurut Rizam, perkara itu dimaklumkan beberapa kali oleh Siti Sarah selepas mengetahui dirinya sedang hamil dan menyatakan hasrat untuk berehat menguruskan perihal perniagaan.
“Arwah ketika itu memberitahu dia mahu dirinya diganti dengan orang lain dan minta kami di bahagian pentadbiran untuk mencari calon yang sesuai. Dia mahu orang lain menggantikannya bermula Ogos dan ke atas.
“Ketika itu, dia memaklumkan mahu berehat kerana memikirkan kandungan dan mahu bersalin sekitar September ini. Perkara ini juga baru kami sedari semalam semasa sedang berbual dengan rakan dan tak sangka, rupanya bayangan dia akan pergi itu sudah ada tanpa kami sedar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Selain itu, kata Rizam, meskipun arwah sudah tiada, perniagaan jenama Loveta tetap akan diteruskan sekali gus menyaksikan jaminan nasib dan kebajikan 30 pekerjanya yang masih terbela.
Rizam berkata, dia melihat tiada sebab perniagaan jenama tersebut harus berkubur setelah segala usaha dan penat lelah telah dicurahkan oleh arwah sejak memulakannya empat tahun lepas.
“Memang ini adalah amanah untuk kami di bahagian pentadbiran dan pekerja-pekerja. Ini adalah legasi perniagaan arwah dan sejak ditubuhkan, dia juga telah melantik ibu tirinya, Siti Fatimah Suberi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Loveta.
“Tak mungkin akan tutup. Lagipun arwah menjalankan perniagaan pakaian muslimah yang mana bagi kami semua, jika lebih ramai memakainya, secara tidak langsung pahala buatnya masih mengalir berterusan,” katanya.
Menurut Rizam, bermula hari ini, Loveta juga akan dibantu dan diselia oleh Shuib Sepahtu namun tidak secara formal.
Menceritakan mengenai sejarah penubuhan, kata Rizam, arwah mengguna pakai nama Loveta sempena nama anak perempuannya, Dzahira Talita Zahra, 8, yang manja disapa sebagai DikTa di rumah.
“Secara tidak langsung, Talita juga adalah pewaris kepada perniagaan tersebut. Perancangan untuknya mungkin akan dirangka selepas ini memandangkan Talita masih kecil.
“Selain itu, kami juga bersyukur dan terharu kerana semalam, dalam masa sehari, sebanyak 500 helai jubah dan tudung jenama ini telah terjual, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Kami fikir, selain doa, barangkali ini adalah satu cara peminat untuk memberi sumbangan kepada arwah sekali gus meneruskan impiannya menerusi perniagaan pakaian muslimah ini,” katanya.
Dalam pada itu, kata Rizam, pihaknya memohon agar tidak timbul sebarang salah faham atau isu mengambil kesempatan menerusi perniagaan kerana sebagaimana yang dijelaskan, operasi syarikat tetap diteruskan berlandaskan amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh arwah. – UTUSAN










