Jualan sektor pembuatan melonjak 33.9 peratus kepada RM377.7 bilion - Utusan Malaysia

Jualan sektor pembuatan melonjak 33.9 peratus kepada RM377.7 bilion

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada suku kedua tahun ini melonjak 22.6 peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu dipacu oleh indeks pembuatan, perlombongan dan elektrik yang masing-masing mencatatkan kenaikan 26.3 peratus, 15.1 peratus dan 8.6 peratus.

Kata beliau, bagi tempoh separuh tahun pertama 2021 pula, IPP merekodkan pengembangan 12.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh kenaikan dalam kesemua komponen iaitu indeks pembuatan (15.7 peratus), perlombongan (4.5 peratus) dan elektrik (empat peratus).

“IPP meningkat 1.4 peratus pada Jun berbanding bulan sama tahun lalu. Pertumbuhan ini disokong oleh pengembangan 10.3 peratus dalam indeks perlombongan.

“Sementara itu, indeks pembuatan dan elektrik masing-masing menyusut 0.2 peratus dan 4.8 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, nilai jualan sektor pembuatan turut melonjak 33.9 peratus pada suku tahun kedua (S2) 2021 kepada RM377.7 bilion berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan itu didorong oleh kenaikan dalam produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (47.3 peratus); produk petroleum, kimia, getah dan plastik (46.3 peratus) serta produk peralatan elektrik dan elektronik (30 peratus).

Menurut Mohd. Uzir, prestasi nilai jualan sektor itu pada separuh tahun pertama 2021 juga merekodkan peningkatan 20.1 peratus kepada RM740.6 bilion berbanding tempoh sama 2020.

Untuk Jun sahaja, sektor tersebut mencatatkan nilai jualan sebanyak RM124.4 bilion, pertumbuhan 6.5 peratus berbanding bulan sama tahun lalu dan 1.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Pertumbuhan nilai jualan pada bulan ini dipacu subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (41.6 peratus) terutama dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis,” katanya.

Dalam pada itu, sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan tertinggi sejak 2012 sebanyak 42.6 peratus untuk suku kedua 2021 dengan jumlah RM28.2 bilion, sebahagian besarnya disebabkan asas yang rendah tahun lalu.

Jelas Mohd. Uzir, subsektor aktiviti pertukangan khas memacu pertumbuhan yang lebih tinggi pada 75 peratus pada suku kedua berbanding suku sama tahun lalu.

“Manakala tiga subsektor lain iaitu kejuruteraan awam, bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing menunjukkan pertumbuhan 59.5 peratus, 37 peratus dan 18 peratus berbanding suku sama 2020,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×