KUALA LUMPUR : Hanya pemilihan UMNO sahaja boleh menyatukan semula ahli parti, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, arahan sudah dikeluarkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sekaligus ia perlu dipatuhi bagi mengelakkan kekalutan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang mungkin diadakan pada tahun hadapan.
“Pada saya RoS sudah beri arahan, jadi UMNO kena buat mesyuarat dengan segera sebab kalau tahun depan PRU, baru kalut nak bermesyuarat, ia akan menjejaskan parti. Seeloknya kena buat sekarang.
“Hanya pemilihan sahaja yang boleh menyatupadukan balik ahli UMNO dan Zahid kena besar hati untuk mengadakan pemilihan parti, ” katanya ketika dihubungi, semalam.
UMNO kini telah berpecah dua iaitu mereka yang akur pada arahan Majlis Tertinggi (MT) untuk menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Satu lagi kelompok adalah mereka yang ingin meneruskan kerjasama sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 termasuklah mereka yang memegang jawatan menteri dan timbalan dalam kabinet, antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Zahidi dalam masa yang sama turut menjelaskan yang beliau bersedia meletakkan jawatan jika Presiden parti bulan lagi Ahmad Zahid.
“Dan saya bersedia letak jawatan sebagai Timbalan Menteri jika Presidennya bukan Zahid. Kalau orang lain yang Presiden, saya akan akur dan letak jawatan,” tegasnya.
Pada Jumaat lalu, RoS mengesahkan semua jawatan dalam MT UMNO tidak lagi sah selepas tempoh penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun 2021 lalu.
Dalam satu surat kepada Setiausaha Agung UMNO, RoS mencadangkan UMNO menetapkan satu tarikh untuk mengadakan mesyuarat pemilihan MT dengan mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada. – UTUSAN










