Perkiraan Ismail Sabri tepat, Perikatan Nasional ada majoriti - Utusan Malaysia

Perkiraan Ismail Sabri tepat, Perikatan Nasional ada majoriti

KAMARUL ZAMAN YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sememangnya mempunyai majoriti seperti dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yacob yang sebelum ini mengumumkan mempunyai sokongan lebih 110 ahli Parlimen.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, PN masih kerajaan yang sah dengan sokongan parti di dalam gabungan berkenaan.

Menurut beliau, ia termasuk daripada 40 Ahli Parlimen UMNO-Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak 32, Pas (18), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Solidariti Tanah Airku (STAR) (1), Bebas (3) dan dua lagi dari Sabah.

“Rakyat juga saya rasa tidak mahu pertukaran kerajaan pada masa ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu berundur sebagai Perdana Menteri seperti mana yang dimahukan pembangkang.

“Kepentingan negara harus diutamakan dengan tumpuan kerajaan semasa untuk menjalankan Pelan Pemulihan Negara bagi mengurangkan impak negatif akibat pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri menegaskan, kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli Parlimen.

Menerusi kenyataannya, Ismail Sabri yang juga Ketua Whip Kerajaan memaklumkan, situasi semasa politik negara dalam keadaan tidak stabil boleh menjejaskan usaha kerajaan menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, cubaan ahli-ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen juga tidak perlu dilayan dan sekadar membuktikan kerakusan mereka dengan agenda merebut kuasa.

Beliau berkata, amatlah rugi apabila ruang diberi untuk mereka memberikan cadangan bagi membantu memulihkan negara melalui Mesyuarat Khas Parlimen disia-siakan kerana obsesi mereka untuk menukar kerajaan.

“Sepatutnya, apa yang mereka perlu lakukan ialah menunjukkan bukti mereka akan melakukan yang lebih baik untuk memulihkan negara dengan pelan alternatif, tetapi, ini tiada, menjadikan mereka pembangkang yang gagal,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×