UMT, Unisza tempang tanpa NC - Utusan Malaysia

UMT, Unisza tempang tanpa NC

JAWATAN Naib Canselor Unisza kini kosong selepas Profesor Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan ditahan daripada menjalankan tugasnya berkuat kuasa 12 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-kira dua tahun lalu, nama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan jirannya, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) pernah menjadi sebutan ramai berikutan kontroversi penggabungan kedua-dua universiti awam itu sebagai satu entiti.

Cadangan yang diputuskan jemaah menteri semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu bagaimanapun dibantah banyak pihak, bukan sahaja dalam kalangan warganya malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di samping kepemimpinan parti politik. Rata-ratanya menyifatkan cetusan idea itu bakal melenyapkan identiti UMT dan Unisza yang diketahui umum berbeza bidang tujahan utama, iaitu kelautan dan sains marin di samping pengajian Islam dan perubatan.

Selepas sembilan bulan berlalu, akhirnya pada 22 Mei 2020, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memutuskan membatalkan cadangan penggabungan tersebut sekali gus meleraikan segala persoalan dan kekusutan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor dan cabaran semasa antaranya perbezaan fokus tujahan yang ketara, penyelarasan fakulti akademik dan institusi penyelidikan sedia ada di samping tahap kesediaan warga universiti.

Namun, kontroversi membabitkan kedua-dua universiti awam terkemuka di Terengganu itu belum reda. Kali ini membabitkan jawatan tertinggi, iaitu Naib Canselor (NC).

Hingga kini, kekosongan jawatan NC UMT difahamkan masih belum diisi selepas penyandangnya, Profesor Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar menamatkan perkhidmatan pada 12 April lalu.

Walaupun kementerian menjelaskan pelantikan akan dibuat segera selepas proses temu duga dikatakan dijalankan pada bulan lalu, namun tiada sebarang pengumuman mengenainya dibuat lagi setakat ini.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas (Perentas) UMT, Wan Mohd. Wazir Wan Abdul Wahab berkata, universiti itu berdepan kesukaran untuk mengenal pasti ahli akademik wanita dengan latar belakang dalam bidang sains marin dan maritim sebagaimana dihasratkan KPT untuk mengekalkan calon kaum Hawa.

Nasib sama turut menjangkiti Unisza kerana difahamkan. jawatan NC kini ‘kosong’ selepas Profesor Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan ditahan daripada menjalankan tugasnya berkuat kuasa 12 Julai lalu.

Presiden Persatuan Staf Akademik Unisza, Dr. Berhanundin Abdullah menerusi kenyataan dalam sebuah portal berkata, perkara tersebut dipersetujui Lembaga Pengarah Universiti pada 7 Julai lalu sekali gus menuntut campur tangan kementerian untuk segera melantik pemangku NC. Hassan Basri merupakan NC keempat Unisza dengan pelantikannya bermula dari 1 Februari 2019 hingga 31 Januari 2022.

Kekosongan NC secara serentak di universiti awam Terengganu ini tentunya merupakan isu kritikal yang memerlukan penyelesaian segera bagi mengelak kesan kepada operasi dan pencapaian kedua-dua institusi berkenaan. Tambahan pula dalam situasi Covid-19 pada masa ini, tidak seharusnya UMT dan Unisza dibiarkan tempang terlalu lama tanpa jagaan ‘ibu’ atau ‘bapa’ untuk memimpin anak-anak (penuntut).

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×