PONTIAN: Ketiadaan sebarang usul yang akan dibentang pada Sidang Dewan Rakyat bermula Isnin ini dianggap seperti ‘kepalsuan politik’ yang sukar untuk menentukan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) memiliki majoriti atau tidak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada sebarang pengundian juga dapat dilakukan termasuk terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila ahli-ahli Parlimen dihalang mengemukakan usul.
“Jika tiada sebarang usul dibentang kali ini, maka sukar untuk melihat kerajaan pada hari ini memiliki majoriti atau tidak. Saya fikir jika ada usul undi percaya atau tidak kepada Perdana Menteri, perkara itu juga tidak akan dilakukan.
“Justeru saya melihat semacam wujud kepalsuan politik dari segi kedudukan terhadap Muhyiddin Yassin kerana tiada pengundian,” katanya selepas menyerahkan agihan daging korban secara pandu lalu kepada wakil-wakil penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pontian itu menggesa agar 220 ahli Parlimen dari pembangkang dan kerajaan dibenarkan mengikuti sesi persidangan kali ini bagi membolehkan perbincangan berhubung Covid-19 dilakukan lebih baik seterusnya mencapai matlamat.
“Semua ahli Parlimen sudah divaksin, jadi apa salahnya dibenarkan semuanya bersidang bersama. Malah pelbagai langkah keselamatan termasuk cermin penghadang sudah dilakukan selain proses nyah cemar yang kerap dilakukan.
“Sekiranya beratus-ratus penerima vaksin yang belum divaksin pun boleh berkumpul di ribuan lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara, mengapa semua ahli Parlimen yang sudah lengkap dos vaksin tidak boleh berkumpul,” katanya.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon pada Ahad lalu dilaporkan berkata, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan mencadangkan sidang Dewan Rakyat yang bermula 26 Julai ini dihadkan kepada hanya 80 ahli Parlimen dalam satu sesi persidangan secara bersemuka, manakala bakinya menyertai secara maya.
Mohd. Rashid berkata, jawatankuasa terbabit akan akan mencadangkan setiap sesi persidangan dihadiri seramai 44 ahli Parlimen kerajaan dan 36 ahli Parlimen pembangkang.
Sebelum itu Rashid dilaporkan berkata Ahli Parlimen boleh mengemukakan pertanyaan pada Persidangan Khas Dewan Rakyat selama lima hari mulai 26 Julai ini.
Katanya, Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang tidak akan dihalang jika mahu mengemukakan sebarang pertanyaan.
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula bersidang selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos ini. – UTUSAN










