Kerajaan sementara ditadbir kakitangan awam tiada dalam Perlembagaan - Utusan Malaysia

Kerajaan sementara ditadbir kakitangan awam tiada dalam Perlembagaan

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Cadangan agar diwujudkan kerajaan sementara yang ditadbir penjawat awam sepenuhnya berikutan kemelut politik ketika ini, tidak boleh dilaksanakan di bawah sistem di negara ini.

Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ini kerana kerajaan seperti itu hanya boleh dibuat selepas dewan dibubarkan dan selepas pilihan raya umum, sementara menunggu pelantikan kerajaan baharu.

Katanya, perkhidmatan awam tidak boleh mengambil alih pemerintahan negara seperti yang dicadangkan oleh Gerakan Kakitangan Awam – GKA Malaysia dalam laman Facebook.

“Perkhidmatan awam hanya boleh menguruskan negara di bawah arahan kerajaan yang bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Perkhidmatan awam tidak dipilih oleh rakyat dan maka itu ia tidak boleh menjadi kerajaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, penyelesaian kepada kemelut politik hari ini adalah isu itu dibawa ke Parlimen atau Yang di-Pertuan Agong melantik kerajaan baharu dari Parlimen yang ada sekiranya terbukti benar pentadbiran Tan Sri Muh­yiddin Yassin hilang majoriti.

Katanya, perkhidmatan awam tidak boleh menjadi caretaker government apatah lagi menjadi kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2023 dan idea itu bertentangan dengan konsep demokrasi berparlimen yang diamalkan.

“Idea GKA ini pernah disuara­kan oleh Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Nordin Kardi. Idea sedemikian bertentangan de­ngan Perlembagaan kita sebab pemerintah, iaitu eksekutif perlu menjawab di Parlimen.

“Sebab itu jugalah Agong tidak boleh memerintah kecuali negara ini mengalami revolusi atau coup detat tentera dan perlembagaan digantung atau dicampak ke tepi.

“Selagi Perlembagaan ada, pemerintah mesti dipilih oleh rakyat kecuali dalam keadaan caretaker government yang sebenarnya amat singkat dan bukan pemerintah dalam erti kata sebenar,” katanya.

GKA Malaysia dalam laman Facebooknya kelmarin mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong ‘merehatkan’ tugasan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet dan semua aktiviti politik dalam negara untuk sementara waktu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×