Tradisi bercerita bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan masyarakat kita. Malah, catatan sejarah membuktikan amalan menyampaikan cerita merupakan budaya kuno dalam tamadun manusia yang terus kekal sampai sekarang.
Dahulu, sebelum adanya pelbagai media seperti buku, radio, televisyen dan pawagam, konsep penglipur lara menjadi tradisi yang amat dibanggakan. Tukang cerita profesional akan menyampaikan pelbagai cerita hikayat dan diselitkan seloka, syair, pantun dan sebagainya. Datuk dan nenek juga menjadi penglipur lara separa profesional.
Golongan dewasa pada hari ini tentu ada pengalaman mendengar cerita daripada orang tua, khususnya daripada nenek atau ibu. Kalau dalam budaya Barat, ada bedtime story. Dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia juga ada tradisi bercerita pada waktu lapang atau malam. Ada pelbagai cerita yang diselitkan moral dan pengajaran.
Apa yang disampaikan biasanya kisah hikayat dan epik klasik yang diubah suai dan ditokok tambah mengikut situasi semasa. Malah, sekiranya direnungkan, segala kesusahan hati atau rintihan jiwa yang sukar diluahkan akan turut diadun secara kreatif oleh golongan wanita (nenek atau ibu) untuk diselitkan dalam kisah yang diceritakan.
Tradisi cerita lisan mungkin dianggap tidak sesuai pada masa sekarang. Tambahan pula kini sudah ada pelbagai sumber cerita dan teknologi yang lebih ‘menggoda’ minat generasi muda. Akan tetapi, tradisi cerita lisan bukan sekadar bercerita. Seperti dinyatakan tadi, si pencerita berpeluang meluahkan isi hati secara tersirat menerusi cerita.
Memandangkan cerita disampaikan secara lisan, pendengar (biasanya kanak-kanak dan remaja) berpeluang menikmati cerita dengan gaya penyampaian yang unik daripada si pencerita. Intonasi, milik muka, gerak tangan, gaya bercerita dan sebagainya merupakan aspek yang kini kita namakan sebagai seni pengucapan awam.
Anak-anak yang membesar dengan mendengar cerita daripada orang tua juga akan memiliki bakat bercerita dengan penuh kreatif. Imaginasi mereka akan berkembang secara positif apabila mendengar cerita dan membayangkan kisah itu.
Dalam situasi penularan wabak Covid-19 sekarang, ramai kanak-kanak dan remaja ‘terperangkap’ di rumah. Proses pembelajaran secara dalam talian menggunakan komputer riba atau telefon bimbit pasti memenatkan mata. Maka, mereka mungkin tidak digalakkan menonton televisyen secara berlebihan.
Pada masa sama, perpustakaan dan kedai buku terpaksa ditutup selaras arahan kerajaan. Koleksi buku cerita di rumah mungkin tidak banyak atau sudah habis dibaca sejak setahun lalu.
Ibu bapa yang bekerja dari rumah memang berdepan pelbagai masalah yang mungkin tidak difahami orang ramai. Situasi ‘terkurung’ di dalam rumah bagi tempoh yang lama memang boleh memberi kesan psikologi kepada mana-mana individu. Bayangkan situasi sebuah keluarga yang terdiri daripada tujuh orang dan tinggal di pangsapuri dengan dua bilik, misalnya.
FIKSYEN
Memang banyak perkara yang tidak dapat diubah tetapi terpaksa diterima dan dihadapi dengan penuh reda. Dalam situasi seperti inilah kita mungkin boleh memikirkan untuk mengamalkan semula tradisi bercerita seperti pada masa silam.
Proses bercerita ini tidak semestinya melibatkan kisah fiksyen seperti hikayat, epik dan cerita rekaan. Ibu bapa boleh meminta anak-anak menceritakan pengalaman belajar secara dalam talian. Boleh juga meminta anak-anak membandingkan pengalaman pergi ke sekolah dengan pengalaman belajar secara dalam talian.
Topik lain yang boleh dijadikan modal untuk bercerita adalah mengenai pengalaman keluarga itu pergi melancong atau balik kampung pada masa lalu, iaitu sebelum pandemik. Secara tidak langsung, kita berpeluang mengimbau kisah lama dan merasai semula keindahan pengalaman bertemu sanak saudara.
Sedikit demi sedikit, boleh pula si ibu, bapa atau nenek menyampaikan cerita rakyat seperti pada masa dahulu. Generasi muda pasti teruja mahu mendengar sekiranya mampu disampaikan dengan gaya memikat.
Dalam mana-mana keadaan, apa yang sebenarnya berlaku adalah proses mengeratkan hubungan kekeluargaan. Komunikasi amat penting dalam hal ini. Walaupun duduk serumah sepanjang pandemik, jika tidak ada interaksi dan komunikasi pun tidak ada gunanya.
Maka, peluang berkongsi cerita (pengalaman atau rekaan) boleh membantu memulihkan komunikasi yang renggang dalam keluarga. Berkongsi cerita adalah cara yang baik dan mudah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Apabila ibu bapa menyampaikan semula cerita rakyat yang pernah didengar semasa kecil, mereka sebenarnya membantu anak-anak memahami kehidupan masa lalu. Mungkin anak-anak akan bertanya soalan tentang kemudahan media yang pernah ada pada masa lalu, atau maklumat tentang datuk dan nenek.
Bagi ibu bapa pula, ini peluang untuk mengenang pengalaman semasa kanak-kanak. Selama ini dalam kesibukan harian, kita mungkin tidak sempat berbuat demikian. Kini sambil bercerita kepada anak-anak, kita mampu membayangkan kehidupan masa lalu.
Anak-anak juga boleh digalakkan berkongsi cerita yang pernah dibaca atau didengar. Atau menceritakan kisah daripada filem dan drama yang pernah ditonton di televisyen. Proses ini secara tidak langsung membantu mengembangkan daya imaginasi, daya pemahaman dan kemampuan pengucapan awam.
Belakangan ini, kita mendengar pelbagai berita sedih mengenai individu (termasuk kanak-kanak dan remaja) yang membunuh diri akibat kemurungan dan tekanan perasaan. Sesi bercerita seperti yang dicadangkan ini sebenarnya boleh menjadi salah satu saluran untuk meluahkan perasaan dan mencari ketenangan.
Maka, budaya bercerita wajar diwujudkan semula dalam kalangan ahli keluarga. Bukan hanya untuk hiburan dan mengisi masa lapang. Sebaliknya, boleh menjadi medium penting yang mampu mengeratkan hubungan keluarga, meredakan jiwa yang tidak tenteram, menambah bakat pengucapan awam dan mungkin juga menyelamat nyawa orang tersayang.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










