SHAH ALAM: Sukarelawan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini tetap menjalani kuarantin walaupun ada di antara mereka yang disahkan negatif selepas membuat ujian calitan.
Salah seorang sukarelawan, Ahmad Naqiuddin Ahmad Naser, 27, berkata, dia melakukan ujian calitan pada Sabtu lalu dan disahkan negatif, tetapi tetap menjalankan ujian kuarantin di rumah bagi mengelak daripada perkara tidak diingini.
Dia yang akan bertugas di PPV di Tangkak, Johor menambah, akan menjalani kuarantin sebaik sahaja tiba di Johor sebelum memulakan tugas sebagai sukarelawan di PPV terbabit.
“Saya dan rakan-rakan terkejut apabila mendapat tahu mengenai insiden yang tular dalam Twitter. Tak sangka ramai yang positif.
“Kami turut melakukan ujian calitan dan saya bersyukur apabila ia negatif, namun, tetap memberikan semangat buat rakan lain yang disahkan positif supaya terus kuat dan bersemangat melawan Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Ahmad Naqiuddin yang sudah menerima suntikan vaksin memberitahu, dia menganggap insiden itu sebagai cabaran sebagai sukarelawan yang bertugas di mana-mana PPV, namun, menjelaskan itu tidak melemah dan melunturkan semangat mereka.
“Insiden ini membuatkan saya akan lebih berhati-hati ketika mengendalikan penerima vaksin kerana kita tidak tahu, dalam ramai-ramai yang datang, mungkin ada yang bergejala dan mereka juga ada yang tidak tahu mengenainya,” ujarnya.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamauddin semalam mengumumkan seramai 204 petugas di PPV IDCC Shah Alam disahkan positif Covid-19.
Menurut beliau, keputusan itu diperoleh selepas saringan beramai-ramai pada 10 Julai lalu.
Insiden itu menyebabkan IDCC Shah Alam ditutup semalam berikutan kes positif Covid-19 yang dikenal pasti dalam kalangan petugasnya.
Sementara itu, Zarina Ismail yang bertanggungjawab merekrut sukarelawan untuk berkhidmat di PPV IDCC mengesahkan dia bersama dua lagi anaknya yang bertugas di PPV berkenaan positif Covid-19.
Menurut Zarina, keputusan ujian calitan itu diketahui semalam dan kesemua sukarelawan di PPV berkenaan sememangnya sudah menjalani kuarantin sejak ujian calitan dilakukan Sabtu lepas.
“Pada masa ini, apa yang kami beritahu kepada semua sukarelawan ialah berada dalam keadaan bertenang. Kebanyakan daripada kami mengalami simptom tidak bergejala dan menjalani kuarantin di rumah masing-masing,” ujarnya.
Seorang jururawat yang bertanggungjawab memberi suntikan kepada penerima vaksin, Che Nur Natasha Che Zulkifli, 22, pula memberitahu, dia akan menjalani ujian calitan hari ini.
Dia yang mengakui terkejut dengan insiden tular dalam Twitter itu mengakui ada mengalami batuk sedikit tetapi menganggap itu hanya batuk biasa kerana tiada simptom lain.
“Bagaimanapun, selepas mengetahui berita itu tular, lebih baik saya jalani ujian calitan. Saya tinggal di hotel yang disediakan ini secara berseorangan dan tidak pulang ke rumah keluarga di Setiawangsa, Kuala Lumpur.
“Jadi, saya harap keputusan ujian hari ini negatif dan akan terus menjalani kuarantin di hotel ini sendirian,” ujarnya. – UTUSAN










