Belajar online, mahasiswa pun tertekan, murung - Utusan Malaysia

Belajar online, mahasiswa pun tertekan, murung

Pembelajaran secara dalam talian adalah pilihan terbaik bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa perwakilan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam mendedahkan berlaku masalah kemurungan dan tekanan emosi dalam kalangan mahasiswa sepanjang mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Ini dibuktikan menerusi peningkatan aduan berhubung masalah tersebut sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara.

Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Darwisy Roslan berkata, isu kesihatan mental pelajar IPT sememangnya berlaku dan turut dibincangkan oleh kesatuan pelajar universiti.

“Bulan lepas adalah kemuncak di UIAM apabila pelajar sangat-sangat tertekan sehinggakan kami terpaksa kumpulkan aduan mereka dengan inisiatif kaji selidik berskala besar. Dalam masa sejam, berduyun-duyun aduan diterima berkenaan masalah kesihatan mental disebabkan pembelajaran secara dalam talian.

“Keesokannya, kami terus mengadakan mesyuarat bersama rektor universiti dan menyatakan setelah masuk dua tahun menjalani pembelajaran dalam talian, kami masih tidak nampak perubahan polisi akademik yang dicadangkan kerajaan. Sepatutnya ada mekanisme yang lebih baik untuk dianjurkan, bukan hanya fokus kepada macam mana untuk bertahan,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Muhammad Faris Abdul Hadi pula berkata, pihaknya juga menerima banyak aduan mengenai masalah sama yang membelenggu mahasiswa UTHM.

Katanya, satu daripada pe­nyum­bang tekanan adalah capaian internet lemah sedangkan mahasiswa mempunyai banyak ujian, tugasan dan kerja kursus yang perlu dihantar.

“Isu ini serius sehingga ada yang perlu memanjat pokok dan memanjat bukit untuk mendapatkan capaian internet,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Kediaman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh, Muhammad Hanif Naim memberitahu, antara aduan yang diterima sejak sistem pembelajaran dalam talian tahun lalu adalah penat kerana terpaksa membahagikan komitmen keluarga dan pada masa sama perlu menyiapkan tugasan serta menghadiri kelas secara berterusan.

“Kami dengan kerjasama persatuan pelajar kampus, kesatuan pelajar dan pihak pengurusan universiti berusaha memastikan mahasiswa yang mempunyai masalah kesihatan mental tidak tersisih dan mendapat pertolongan berterusan,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×