BEIJING: Pihak berkuasa tempatan di China mula menjenamakan semula kawasan luar bandar yang kurang berpenduduk sebagai hab bakat kecerdasan buatan (AI), dengan menawarkan kehidupan lebih tenang kepada pekerja teknologi berpengalaman yang mahu menjauhkan diri daripada tekanan kehidupan bandar besar.
Pada April lalu, bandar Caojing yang terletak dalam kawasan rizab alam semula jadi yang indah, kira-kira 60 kilometer ke selatan pusat bandar Shanghai, menyertai beberapa lokasi lain di seluruh China yang menawarkan subsidi bernilai jutaan yuan bagi menarik perusahaan kecil dalam bidang AI.
Syarikat pemula yang memenuhi syarat dan berpindah ke kawasan itu ditawarkan kemudahan ruang pejabat bersama secara percuma, geran sehingga 10,000 yuan (RM6,192) serta penginapan percuma selama sebulan, menurut pihak berkuasa bandar berkenaan.
Kemunculan hab sedemikian merupakan antara hasil pelaksanaan dasar Beijing menerusi pelan tindakan ‘AI Plus’ yang bertujuan mengintegrasikan teknologi itu dalam hampir semua aspek pendidikan dan kehidupan.
“AI sedang menguasai segala-galanya,” kata seorang penduduk, Wind Liu, 38, yang berpindah bersama isterinya ke kampung Shuiku di Caojing, tiga bulan lalu.
Mereka bersama kira-kira 30 penduduk lain tinggal di beberapa asrama yang diubah suai daripada rumah kediaman, dalam sebuah penempatan nomad digital yang diwujudkan sebagai komuniti untuk syarikat berasaskan AI.
Liu, seorang guru bahasa Inggeris, menggunakan perisian penjanaan video AI dari China, Seedance untuk menghasilkan pelajaran kosa kata berbentuk animasi yang menampilkan watak daripada rancangan televisyen Amerika Syarikat (AS) sebelum memuat naiknya ke media sosial.
Kampung itu turut menawarkan ruang untuknya berehat daripada budaya kerja tanpa henti ‘996’ di bandar-bandar besar China, iaitu istilah yang merujuk kepada jadual bekerja selama 12 jam sehari, enam hari seminggu.
“Rata-rata orang yang saya temui di sini mahukan lebih kebebasan, ruang dan masa,” katanya.
Kehadiran golongan nomad digital itu turut membantu meningkatkan ekonomi tempatan
“Lebih ramai orang berada di sini sekarang. Dahulu jumlahnya lebih sedikit dan selepas ini akan semakin bertambah,” kata wanita yang tinggal di kampung berhampiran itu.








