YANGON: Serangan udara dan bedilan bom tentera Myanmar mengorbankan 49 orang serta mencederakan lebih 90 yang lain dalam dua serangan berasingan di kawasan yang dikuasai kumpulan pemberontak di negeri Rakhine, barat negara itu dan negeri Kayah di timur.
Lapor Reuters, serangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas serangan tentera yang mengorbankan ramai mangsa di wilayah Magway, tengah Myanmar dan kira-kira seminggu selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya.
Di negeri Rakhine, sebuah jet pejuang tentera melancarkan dua serangan berasingan di bandar Mrauk-U pada Sabtu, menurut seorang petugas bantuan tempatan dan kumpulan pemberontak Tentera Arakan yang menguasai bandar berkenaan.
Jurucakap kumpulan itu berkata, pesawat berkenaan menggugurkan dua bom seberat kira-kira 227 kilogram sekitar pukul 4 petang dan dua lagi pada 7.50 malam (waktu tempatan).
Petugas bantuan tempatan berkata, serangan itu mengorbankan kira-kira 28 orang awam, termasuk kanak-kanak dan warga emas, selain mencederakan kira-kira 30 yang lain.
Sementara itu, di negeri Kayah yang turut dikenali sebagai negeri Karenni, serangan udara, dron dan bedilan meriam menyasarkan kampung Mobye berhampiran sempadan negeri Shan pada Sabtu.
Menurut penduduk tempatan, serangan itu berlaku ketika penduduk kampung dan mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik sedang membuat persiapan untuk menghadiri majlis perkahwinan.
Serangan pada tengah hari itu mengorbankan 21 orang, termasuk murid tadika dan tahun satu, serta mencederakan lebih 60 yang lain, menurut penduduk tempatan.
Dalam satu kenyataan, Majlis Eksekutif Interim Negeri Karenni, pentadbiran de facto yang diterajui kumpulan pemberontak di wilayah itu mengecam serangan berkenaan sebagai jenayah perang.
Majlis itu turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas.
Pada Khamis lalu, serangan udara tentera ke atas kawasan sekolah di wilayah Magway, tengah Myanmar, mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang, termasuk kanak-kanak.
Myanmar terus bergolak sejak tentera merampas kuasa menerusi rampasan kuasa pada 2021, sekali gus mencetuskan perang saudara yang mengorbankan kira-kira 100,000 orang dan menyebabkan lebih 3.5 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.











