KOTA BHARU: Petugas kesihatan di negara ini diingatkan supaya tidak membawa sebarang isu berbangkit ke laman sosial, sebaliknya menggunakan saluran rasmi yang disediakan.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata,
tindakan sedemikian khususnya perkara yang boleh diselesaikan di peringkat pengurusan hospital, berisiko membesarkan isu sehingga menjejaskan tumpuan petugas.
Katanya, walaupun isu tersebut tidak serius dan tiada tindakan tatatertib setakat ini, tetapi petugas kesihatan tidak wajar berbuat demikian.
“Kita ingatkan semua petugas kesihatan supaya menggunakan saluran rasmi yang disediakan bagi mengemukakan aduan, pandangan atau cadangan penambahbaikan berkaitan perkhidmatan dan kebajikan warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Jika petugas kesihatan rasa boleh ditambah baik, datang kepada pihak pengurusan. Mulakan dengan pengurusan hospital, kemudian kepada pengarah kesihatan negeri untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Garis Panduan
Penjagaan Aurat Pesakit di Dewan Bedah dan Dewan Bersalin di Kompleks Rawatan Harian Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Azman berkata, KKM mempunyai platform termasuk mesyuarat khas setiap dua bulan bersama Ketua Pengarah Kesihatan untuk menyampaikan pandangan petugas di peringkat bawah.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini telah meluluskan beberapa penambahbaikan melibatkan kebajikan petugas kesihatan, termasuk kenaikan elaun bertugas atas panggilan (on-call) bagi pegawai perubatan dan pakar perubatan.
Beliau berkata, walaupun kenaikan itu tidak begitu besar bagi setiap panggilan, secara kumulatif petugas yang menjalani lima hingga enam kali on-call sebulan boleh menikmati pertambahan pendapatan sekitar RM1,000. – UTUSAN











