97 kes gangguan seksual berjaya diselesaikan menerusi TAGS - Hui Ying

97 kes gangguan seksual berjaya diselesaikan menerusi TAGS – Hui Ying

LIM Hui Ying (tiga dari kiri) ketika menghadiri program Toleransi Sifar Keganasan : 'Respect the Boundaries' di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Sebanyak 97 daripada keseluruhan 142 kes aduan gangguan seksual yang difailkan sepanjang tahun ini iaitu sehingga 20 September lalu berjaya diselesaikan menerusi Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, data itu membuktikan keberkesanan TAGS yang berfungsi sebagai saluran alternatif kepada mangsa untuk mendapatkan penyelesaian secara lebih mudah, cepat dan pada kos berpatutan.

“Oleh itu, mekanisme seperti TAGS yang diwujudkan di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) perlu terus dimanfaatkan bagi memastikan individu yang mengalami gangguan seksual mempunyai ruang untuk tampil mendapatkan pembelaan dan mempertahankan maruah diri,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Toleransi Sifar Keganasan : ‘Respect the Boundaries’ di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hui Ying berkata, program tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar mengenai batas diri serta tindakan yang boleh diambil sekiranya berhadapan gangguan seksual atau keganasan.

Pada masa yang sama katanya, setiap individu perlu mengetahui batas perlakuan yang boleh diterima dan berani berkata tidak sekiranya berasa tidak selesa dengan sesuatu tindakan.

“Kalau mereka rasa tidak boleh terima, mereka mesti berani berkata tidak dan mengetahui saluran yang boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan,” jelas beliau.

Tambah Hui Ying, mangsa juga tidak seharusnya berasa malu untuk tampil membuat aduan kerana mereka berhak mendapat perlindungan serta sokongan daripada pihak yang berkenaan.

“Dalam hal ini, rakan-rakan serta ahli keluarga perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku individu di sekeliling mereka dan memberikan sokongan sekiranya mengesyaki seseorang itu sedang berhadapan dengan masalah.

“Usaha menangani gangguan seksual dan keganasan memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk sekolah, keluarga serta agensi berkaitan bagi memastikan mangsa mendapat bantuan sewajarnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×