Sektor ketiga pemacu ekonomi sosial, perkukuh ekosistem negara

Sektor ketiga pemacu ekonomi sosial, perkukuh ekosistem negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANAN sektor ketiga yang merangkumi keusahawanan sosial, pertubuhan masyarakat sivil dan organisasi komuniti kini semakin menyerlah sebagai pemacu baharu ekonomi sosial negara, selari dengan hala tuju pembangunan inklusif.

Perkembangan itu bukan sahaja melengkapkan peranan sektor awam dan swasta dalam menangani cabaran sosioekonomi, malah berpotensi menjana nilai ekonomi terukur serta memperkasakan komuniti akar umbi secara mampan.

Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Dasar Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMY 2030) turut menyediakan kerangka strategik bagi memarusperdanakan sektor berkenaan supaya lebih berdaya saing dan diiktiraf dalam pasaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Pengarah Kementerian Ekonomi, Dr. Nik Rozelin Nik Ramzi Shah berkata, peralihan paradigma sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah meletakkan sektor ketiga bukan lagi sebagai pihak yang bergantung kepada bantuan kebajikan, sebaliknya sebagai rakan pembangunan negara.

Menurutnya, RMK-13 memberi penekanan khusus terhadap peranan sektor ketiga sebagai pemacu ekonomi sosial yang menginsankan usaha menangani isu masyarakat dengan menerapkan nilai empati dan kelestarian.

“Menerusi RMK-13, kita menetapkan tiga matlamat utama untuk mencapai kesaksamaan dalam ekonomi sosial iaitu membina asas ekosistem yang kukuh menjelang 2027, memperkemas kerangka perundangan serta meningkatkan bilangan perusahaan sosial yang berdaya maju.

“Pelbagai inisiatif turut digerakkan termasuk peningkatan kapasiti, penglibatan sektor ketiga dalam tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta peluasan akses pasaran melalui kerjasama institusi kewangan,” katanya pada Forum Sektor Ketiga dan Ekonomi Sosial mySDG 2026 baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, data menunjukkan terdapat 380 perusahaan sosial yang menerima sokongan kukuh dengan nilai impak sosial mencecah RM113 juta, selain lebih 16,284 koperasi direkodkan dengan kekuatan 7.18 juta anggota.

Bagaimanapun, katanya, sektor berkenaan masih berdepan cabaran struktur yang memerlukan penyelarasan menyeluruh antara pentadbiran, pengurusan dan keupayaan perniagaan.

“Antara cabaran utama ialah struktur pelaksanaan yang kompleks, jurang dalam aspek pengurusan kewangan, pentadbiran dan teknologi serta tahap keterlihatan yang masih rendah dalam pasaran arus perdana.

“Ketiadaan definisi yang seragam dan garis penanda aras perundangan yang jelas turut menyukarkan usaha mengukur sumbangan sebenar sektor ketiga kepada ekonomi negara secara menyeluruh,” ujarnya.

Sehubungan itu, Nik Rozelin berkata, Kementerian Ekonomi sentiasa terbuka menerima pandangan daripada penggiat lapangan bagi memastikan dasar serta pelan pusingan yang dirangka benar-benar menepati keperluan sebenar ekosistem.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian (Dasar dan Hubungan Antarabangsa), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), June Suhaila Saran berkata, sesebuah entiti perlu mengimbangi misi sosial dan kelestarian perniagaan untuk diiktiraf sebagai perusahaan sosial berwibawa.

Menurutnya, melalui kerangka SEMY 2030 yang merangkumi lebih 45 inisiatif merentas agensi, kerajaan memperkenalkan sistem akreditasi berperingkat bagi membezakan perusahaan sosial tulen daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) biasa.

“Perusahaan sosial mesti mempunyai dua teras utama iaitu misi menyelesaikan masalah komuniti atau alam sekitar, serta model pengurusan penjanaan pendapatan yang mampan.

“Entiti yang mencapai tahap akreditasi tertinggi layak menikmati pelbagai manfaat termasuk pengecualian cukai pendapatan selama tiga tahun, selain disenaraikan dalam portal rasmi bagi meningkatkan kredibiliti di mata pelabur,” katanya.

June Suhaila berkata, bagi merancakkan permintaan pasaran, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif PRISMA bagi mengubah minda sektor korporat, GLC dan agensi kerajaan agar menilai keputusan perolehan berdasarkan impak sosial dan alam sekitar.

“Kita juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menerusi Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) serta institusi seperti SME Bank dan Tekun Nasional bagi menyediakan akses pembiayaan alternatif kepada perusahaan sosial.

“Selain itu, program pengantarabangsaan, pameran di lobi Parlimen dan penganjuran Anugerah Perusahaan Sosial Malaysia terus dipergiat untuk memperluas akses pasaran tempatan dan serantau,” jelasnya.

Dalam pada itu, Eksekutif, Sekretariat Akreditasi Perusahaan Sosial Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Nurul Liana Irfan Ramli berkata, pembangunan kapasiti melalui latihan dan bimbingan kekal menjadi teras utama bagi membantu usahawan mikro, usahawan informal dan perusahaan sosial melonjakkan skala operasi mereka.

Menurutnya, INSKEN melaksanakan program bimbingan berstruktur selama tiga hingga empat bulan serta khidmat konsultasi secara fizikal dan dalam talian bagi memperkukuh kecekapan pengurusan perniagaan.

“Walaupun mandat asal kami memfokuskan kepada usahawan mikro dan informal, pendekatan bagi perusahaan sosial memerlukan pengubahsuaian kerana saiznya merangkumi entiti berskala kecil sehinggalah yang menjana pendapatan jutaan ringgit.

“Justeru, kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi modul keusahawanan sosial amat penting untuk melahirkan pelapis usahawan berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pendaftaran rasmi di bawah sistem akreditasi KUSKOP diibaratkan seperti pensijilan halal yang memberikan pengesahan rasmi sekali gus mengukuhkan kedudukan perusahaan sosial dalam ekosistem pelaburan negara.

“Dengan sokongan dasar yang jelas, pembiayaan inklusif dan bimbingan berterusan, sektor ketiga berupaya menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih adil serta mensejahterakan masyarakat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini