PETALING JAYA: Selepas dua tahun berkongsi pentas menerusi konsert Our Journey, kumpulan Slam dan Exists bakal kembali bergabung menerusi konsert Slam x Exists: The Greatest Hits di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 1 Mei 2027.
Berbeza dengan persembahan terdahulu, konsert kali ini memberi tumpuan kepada himpunan lagu popular dan karya paling ikonik kedua-dua kumpulan yang pernah mencipta fenomena dalam industri muzik tanah air.
Pengasas SS Karya Entertainment, Shah berkata, konsep berkenaan dipilih bagi memastikan peminat dapat menikmati rangkaian lagu terbaik Slam dan Exists, bukannya karya sampingan yang kurang dikenali.
Menurut pemain gitar Slam itu, kerjasama dengan ICON Entertainment membuka ruang kepada kedua-dua kumpulan untuk kembali berkongsi pentas menerusi konsep yang lebih memfokuskan karya malar segar mereka.
Beliau berkata, pemilihan Unifi Arena yang mempunyai kapasiti lebih besar turut membolehkan peminat menikmati pengalaman konsert lebih memuaskan menerusi sistem bunyi dan visual yang disediakan.
Sementara itu, pengasas ICON Entertainment, Iman Tang berkata, kerjasama dengan SS Karya Entertainment bertujuan menganjurkan persembahan berskala besar yang mengangkat karya serta keupayaan pemuzik tempatan.
Menurutnya, Slam dan Exists mempunyai pengaruh besar dalam industri muzik tempatan dan Nusantara, selain lagu-lagu mereka masih dekat di hati peminat sehingga hari ini.
Vokalis Exists, Ezad berkata, konsert berkenaan bukan sahaja memenuhi permintaan peminat setia, malah menjadi peluang mendekatkan karya kedua-dua kumpulan kepada generasi baharu yang mengenali mereka menerusi platform penstriman digital.
Antara lagu yang dijangka menghangatkan pentas termasuk Gerimis Mengundang, Nur Kasih dan Kembali Terjalin nyanyian Slam, selain Alasanmu, Langkah Seiringan, Julia dan Seperti Dulu daripada Exists.
Tiket berharga antara RM228 hingga RM5,000 bagi kategori ICON SOFA akan mula dijual pada 1 Disember ini, pukul 3 petang menerusi laman web Ticket2U.










