PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas), menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petronas Suriname E&P B.V. (PSEPBV) bersama Staatsolie Maatschappij Suriname N.V. (Staatsolie) memuktamadkan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) bagi membangunkan medan gas Sloanea di Blok 52 luar pesisir Suriname.
Keputusan bersejarah yang diumumkan di Paramaribo sempena sambutan Hari Kemerdekaan Suriname itu menandakan peralihan medan berkenaan daripada fasa penemuan kepada fasa pelaksanaan sebagai pembangunan gas luar pesisir pertama di negara Amerika Selatan tersebut.
Pembangunan ini turut menjadi langkah penting dalam pengembangan portfolio gas asli cecair (LNG) Petronas dengan memperkenalkan sumber bekalan LNG baharu dari Amerika Selatan, sekali gus mempelbagaikan rangkaian bekalan global dan memperkukuh keupayaan memenuhi permintaan pelanggan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, gas akan terus kekal penting dalam menjamin keselamatan tenaga dunia ketika peralihan ke arah masa depan rendah karbon dilaksanakan.
“Asas bekalan LNG yang lebih pelbagai dan berdaya tahan akan menjadi semakin penting dalam memenuhi keperluan ekonomi. Membawa lembangan baharu ke dalam sistem gas global mengukuhkan daya tahan tersebut serta meluaskan akses kepada tenaga yang boleh dipercayai.
“Petronas akan terus memperluas portfolio LNG menerusi kerjasama yang berteraskan kepercayaan dan pandangan jangka panjang bersama, sekali gus menambah sumber bekalan baharu kepada pelanggan merentasi pasaran untuk generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Staatsolie, Annand Jagesar menyifatkan projek tersebut amat signifikan kepada Suriname kerana gas asli merupakan sumber tenaga lebih bersih dengan pengeluaran yang mampu dikekalkan secara stabil selama 25 tahun.
“Selain itu, pengeluaran minyak daripada takungan tertentu tidak dapat dilaksanakan tanpa pemprosesan gas. Projek ini juga meletakkan kami pada kedudukan bersedia untuk pembangunan gas ke darat pada masa hadapan yang boleh menyokong pembangunan tempatan melalui bekalan elektrik lebih bersih dan mencukupi,” ujarnya.
Presiden Republik Suriname, Jennifer Geerlings-Simons pula menegaskan projek itu bukan sekadar melibatkan Petronas dan Staatsolie, sebaliknya memberi kesan kepada keseluruhan negara dan menjadi tanggungjawab bersama.
Projek pembangunan medan gas Sloanea yang dinamakan KrakaWi itu dibangunkan berasaskan penemuan Sloanea-1 oleh PSEPBV pada 2020 sebelum diisytiharkan berdaya maju secara komersial pada November 2025.
Konsep pembangunan yang dipilih merangkumi telaga pembangunan gas, infrastruktur dasar laut serta kemudahan gas asli cecair terapung (FLNG) yang bakal menjadi pembangunan sulung seumpamanya di rantau tersebut.
Seiring pelaksanaan KrakaWi, Petronas akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Suriname, Staatsolie dan rakan kongsi bagi memperluas penyertaan tempatan melalui pembangunan tenaga kerja, pembinaan keupayaan serta penglibatan pembekal dan penyedia perkhidmatan Suriname.
Selain Blok 52, PSEPBV turut memperkukuh kehadirannya di negara itu selepas memeterai Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi Blok 66 laut dalam pada Jun 2025 serta memperoleh kepentingan dalam Blok 9 perairan cetek sebagai pengendali dan Blok 10 pada November 2025 bersama Paradise Oil Company, Chevron dan QatarEnergy. – UTUSAN











