UDA tawar ganjaran hampir RM100,000 sempena ulang tahun ke-55

UDA tawar ganjaran hampir RM100,000 sempena ulang tahun ke-55

PENGERUSI UDA Holdings Berhad, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini (tengah) ketika membuat cabutan nama pemenang pada Majlis Cabutan Bertuah Kempen Bonanza Memenuhi Impian 2026 sempena sambutan ulang tahun ke-55 UDA di Odeon Kuala Lumpur hari ini. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UDA Holdings Berhad (UDA) menawarkan ganjaran bernilai hampir RM100,000 kepada pembeli hartanah menerusi cabutan kedua Kempen Bonanza Memenuhi Impian 2026 sempena sambutan ulang tahun ke-55 syarikat itu.

Lebih 300 pembeli yang layak menyertai cabutan itu setakat 25 November lalu berpeluang memenangi sebuah kereta elektrik Proton e.MAS 5 atau satu daripada lima keping emas HABIB seberat lima gram setiap satu dengan ketulenan 999.9.

Cabutan sempena ulang tahun ke-55 UDA itu merupakan siri kedua daripada tiga siri cabutan bertuah kempen berkenaan selepas Cabutan Merdeka yang diadakan pada 2 September lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata, pemilikan hartanah merupakan antara usaha untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memperkukuh penyertaan mereka dalam ekonomi negara.

Katanya, kempen yang diperkenalkan pada Jun lalu sebagai insentif kepada pembeli hartanah UDA itu setakat ini telah mencapai 70 peratus daripada sasaran nilai jualan kasar sebanyak RM200 juta.

“Selama 55 tahun, UDA menyokong usaha ini melalui pembangunan hartanah dan pembentukan komuniti yang inklusif serta mampan. Selaras dengan aspirasi ‘UDA Memenuhi Impian’, kami akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan hartanah berkualiti yang memenuhi keperluan dan kemampuan masyarakat.

“Kempen Bonanza Memenuhi Impian 2026 meneruskan komitmen ini dengan memberi peluang kepada pembeli untuk memiliki kediaman selain meningkatkan pemilikan aset. Cabutan sempena ulang tahun ke-55 ini pula menjadi tanda penghargaan kami kepada pembeli yang memilih legasi melalui unit hartanah UDA.

“Kempen yang berlangsung sehingga 31 Disember 2026 ini menawarkan pilihan daripada 21 pembangunan kediaman dan komersial di seluruh negara merangkumi pelbagai lokasi, harga dan konsep pembangunan,” katanya ketika berucap pada majlis cabutan bertuah Kempen Bonanza Memenuhi Impian 2026 sempena ulang tahun ke-55 UDA di Odeon Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Fuaad berkata, pembeli yang tidak membawa pulang hadiah pada cabutan kali ini masih berpeluang memenangi hadiah menerusi Cabutan Hadiah Utama yang dijadualkan berlangsung pada April 2027.

Katanya, buat pertama kali dalam sejarah kempen hartanah UDA, sebuah kediaman ditawarkan sebagai hadiah utama iaitu satu unit Residensi Dedaun bernilai RM508,000 di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.

“Turut ditawarkan ialah sepuluh keping emas HABIB, setiap satu seberat lima gram dengan ketulenan 999.9. Penyertaan kesemua cabutan ini tertakluk kepada terma dan syarat kempen.

“Kami memahami bahawa setiap pembelian hartanah mempunyai harapan tersendiri sama ada untuk keluarga atau perancangan masa depan. Sebab itu, kami menghargai pandangan dan pengalaman yang anda kongsikan serta sentiasa mengalu-alukan sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan proses pemilikan hartanah,” katanya.

Bagi pembeli yang mencari kediaman di Lembah Klang, pilihan yang ditawarkan menerusi kempen itu termasuk Residensi Dedaun, Residensi 38 Bangsar dan Residensi Akasia Raya.

Di wilayah utara, pembangunan yang mengambil bahagian ialah Amaanee Residences dan Eight & Eight Condominium di Pulau Pinang, Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin di Kedah serta Taman Sena Permai di Perlis.

Pilihan di Johor pula merangkumi UDA Heights, UDA Vista, Residensi Mutiara dan Residensi Sedili manakala di Pantai Timur dan Sarawak, kempen itu melibatkan Pelindung Heights dan Sena @ KTGR di Pantai Timur serta Neu Pendington di Kuching.

Selain menawarkan hartanah komersial di beberapa pembangunan terpilih di seluruh negara, UDA turut memperkenalkan Program Referral bagi menjangkau lebih ramai bakal pembeli melalui pelanggan dan rangkaian komuniti.

Bagi melayakkan diri menyertai cabutan, pembeli perlu membeli hartanah UDA yang layak dalam tempoh kempen serta memenuhi syarat tempahan, Perjanjian Jual Beli (SPA) dan pembayaran dalam tempoh kelayakan yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini