PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad melaksanakan tiga inisiatif utama iaitu diskaun sewa sehingga 20 peratus, moratorium bayaran dan bantuan kos utiliti bagi membantu peniaga serta usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat krisis bekalan global.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, kementerian itu menyambut baik saranan Perdana Menteri agar UDA menurunkan kadar sewaan premis perniagaan bagi membantu meringankan beban peniaga dan usahawan PMKS yang terkesan akibat krisis bekalan global.
Katanya, UDA mengambil pendekatan holistik dan berhemah bagi membantu para peniaga yang menjalankan perniagaan di kompleks beli-belah dan bangunan komersial di bawah milikan serta seliaan syarikat itu.
“Inisiatif pertama melibatkan pemberian diskaun sewa sehingga 20 peratus dengan pelaksanaan secara bersasar berdasarkan dua kategori pelaksanaan bermula Mei hingga Disember 2026.
“Ia melibatkan pemberian diskaun 10 peratus kepada semua penyewa dan tambahan diskaun 10 peratus secara bersasar kepada usahawan PMKS melalui Program Insentif Usahawan UDA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Steven Sim berkata, UDA turut melaksanakan moratorium sebagai langkah sokongan kepada aliran tunai PMKS melalui pembayaran sewa bulanan yang lebih fleksibel.
Katanya, ia termasuk kebenaran tunggakan sewa sehingga tiga bulan kepada penyewa yang terjejas berdasarkan penilaian prestasi dan keperluan operasi.
“UDA juga menyediakan bantuan kos utiliti (Utility Cost Relief) iaitu pengurangan kos operasi PMKS secara tidak langsung melalui penangguhan kenaikan caj perkhidmatan operasi kompleks, di mana UDA akan menanggung kos kenaikan tersebut,” katanya.
Menurut beliau, UDA juga dijangka menanggung kos sebanyak RM12.5 juta bagi melaksanakan segala bantuan itu kepada peniaga dan usahawan PMKS.
“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi UDA Holdings Berhad atau mengikuti media sosial rasmi syarikat itu di Instagram UDA Holdings Berhad dan Facebook UDA Holdings Berhad,” katanya.
Sebelum ini, agensi kerajaan diarahkan untuk mengurangkan kadar sewaan premis perniagaan milik mereka kepada peniaga mulai bulan ini dalam usaha membantu menurunkan kos operasi golongan terbabit.
Pada masa sama, semua pihak berkuasa tempatan di seluruh negara juga diseru untuk mengambil pendekatan sama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan sentiasa berusaha mencari kaedah untuk mengurangkan beban peniaga mengikut keupayaan sendiri dan langkah pertama dilakukan adalah mengurangkan kadar sewa.
Katanya, kebanyakan premis-premis perniagaan di luar sana dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan atau agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA). – UTUSAN










