KANGAR: Belanjawan Negeri Perlis 2027 memperuntukkan dana sejumlah RM362.62 juta meliputi sembilan teras dan 45 strategi utama digariskan secara terperinci bagi memastikan setiap perancangan memberikan manfaat buat seluruh rakyat.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM257.13 juta atau 71 peratus diperuntukkan di bawah perbelanjaan mengurus, manakala RM105.49 juta atau 29 peratus diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kerajaan negeri turut menganggarkan sejumlah RM223.54 juta akan dikutip pada tahun 2027 merangkumi hasil cukai sebanyak RM39.65 juta, hasil bayaran bukan cukai RM37.13 juta dan terimaan bukan hasil
RM146.76 juta.
“Berdasarkan anggaran ini, kutipan hasil negeri dijangka meningkat sebanyak RM5.96 juta atau 2.74 peratus berbanding tahun 2026. Dengan ini, kerajaan negeri
diunjurkan mengalami defisit sebanyak RM33.59 juta pada tahun 2027,” katanya.
Abu Bakar berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perlis 2027 pada Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke 15 (Mesyuarat Bajet 2027) di Kompleks DUN, di sini, petang ini.
Abu Bakar berkata, kerajaan negeri juga memutuskan untuk menyalurkan bantuan wang ihsan sebanyak RM500 secara one-off kepada 1,205 orang petani dan 2,440 nelayan terkesan dengan situasi bencana baru-baru ini membabitkan jumlah keseluruhan bernilai RM1.82 juta.
“Bagi memperkukuh keterjaminan makanan, kerajaan negeri juga memperuntukkan sejumlah RM5.93 juta kepada Jabatan Pertanian negeri pada tahun 2027, yang dijangka memberikan manfaat langsung kepada 3,284 orang pengusaha serta melibatkan kawasan tanaman seluas 1,538.47 hektar,” katanya.
Kata beliau, kerajaan negeri juga akan meneruskan Program Bantuan Bina Baharu Rumah seperti mana tahun ini dengan memperuntukkan sejumlah RM850,000 bagi tahun 2027 membabitkan kos pembinaan sebanyak RM85,000 buat setiap unit rumah.
Tambahnya, setiap permohonan akan diteliti dan dinilai sewajarnya agar bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang layak serta memerlukan. – UTUSAN











