Thailand, Kemboja sepakat teliti kawasan pertikaian maritim

Thailand, Kemboja sepakat teliti kawasan pertikaian maritim

GAMBAR fail dikeluarkan Tentera Laut Diraja Thailand menunjukkan operasi pembersihan tumpahan minyak di Teluk Thailand, berhampiran Rayong.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Kemboja dan Thailand bersetuju membenarkan lawatan ke beberapa pulau dan kawasan maritim yang dipertikaikan bagi membantu usaha menyelesaikan pertikaian sempadan laut antara kedua-dua negara yang berlarutan sejak sekian lama.

Reuters melaporkan, persetujuan yang dicapai itu merupakan sebahagian daripada proses pendamaian yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut kenyataan bersama kedua-dua negara semalam, rundingan yang berlangsung di Malaysia minggu ini mencapai kemajuan teknikal yang baik, termasuk penubuhan kumpulan kerja teknikal serta persetujuan mengenai parameter penetapan sempadan maritim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemboja dan Thailand masing-masing menuntut hak ke atas kawasan laut seluas kira-kira 26,000 kilometer persegi di Teluk Thailand yang dianggarkan mempunyai rizab hampir 12 trilion kaki padu gas asli serta sejumlah besar minyak, dengan nilai kira-kira S$300 bilion (RM958.5 bilion).

Kemboja memulakan proses pendamaian itu pada awal Jun selepas Thailand secara unilateral menamatkan perjanjian 2001 yang membolehkan kedua-dua negara meneroka rizab tenaga di kawasan berkenaan secara bersama.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak bersetuju lawatan ke pulau dan kawasan maritim di pesisir pantai masing-masing akan membantu suruhanjaya memahami dengan lebih jelas aspek geografi serta konteks yang berkaitan.

Pertikaian maritim itu semakin memuncak susulan dua insiden pertempuran di sempadan antara kedua-dua negara sepanjang tahun lalu, namun gencatan senjata yang dicapai selepas itu masih dikekalkan.

“Thailand akan terus terlibat secara membina dalam proses pendamaian ini dan berharap untuk melihat kemajuan yang berterusan,” kata Menteri Luarnya, Sihasak Phuangketkeow.

Rakan sejawatnya dari Kemboja, Prak Sokhonn pula menyifatkan kemajuan teknikal yang dicapai di Kuala Lumpur sebagai satu langkah ke hadapan.

Suruhanjaya berkenaan dianggotai lima negara iaitu Australia, Denmark, Jerman, Afrika Selatan dan Perancis.

Timor-Leste sebelum ini menggunakan mekanisme PBB sama untuk menyelesaikan pertikaian maritim dengan Australia sehingga membawa kepada pemeteraian perjanjian sempadan maritim antara kedua-dua negara pada 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini