PETALING JAYA: Keputusan Kemboja dan Thailand untuk menghentikan pertempuran dan mengekalkan kedudukan pasukan masing-masing menunjukkan pengiktirafan bersama bahawa langkah berhati-hati amat diperlukan terutamanya demi kepentingan orang awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya menyambut baik gencatan senjata yang dipersetujui oleh Kemboja dan Thailand berkuat kuasa pada jam 12:00 (UTC+7) bagi menamatkan konflik bersenjata yang berlarutan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
“Pernyataan Bersama itu menetapkan langkah-langkah praktikal dan positif termasuk pengesahan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN serta komunikasi secara langsung antara pihak berkuasa pertahanan.
“Langkah-langkah ini menyediakan asas bagi kestabilan, dan saya berharap kedua-dua pihak akan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Perdana Menteri, apabila Malaysia menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina pada tengah malam, 1 Januari 2026, negara akan menyokong segala usaha bagi memastikan komitmen ini dihormati serta kredibiliti ASEAN sebagai rantau aman terus terpelihara.
Terdahulu, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta bagi menamatkan konflik bersenjata di sepanjang sempadan kedua-dua negara yang berlarutan selama beberapa minggu dan mengorbankan puluhan nyawa.
Persetujuan itu dimeterai melalui satu kenyataan bersama yang ditandatangani oleh menteri pertahanan kedua-dua negara, dengan gencatan senjata berkuat kuasa mulai pukul 12 tengah hari waktu tempatan pada 27 Disember 2025.
Menurut kenyataan tersebut, gencatan senjata itu melibatkan semua jenis senjata dan melarang sebarang serangan terhadap orang awam, infrastruktur awam serta sasaran ketenteraan di semua kawasan konflik.
Dalam tempoh tiga minggu pertempuran, sekurang-kurangnya 47 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih satu juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat pertempuran yang melibatkan artileri, kereta kebal, dron dan pesawat pejuang.
Kedua-dua pihak turut bersetuju membekukan pergerakan tentera serta membenarkan penduduk di kawasan sempadan pulang ke rumah masing-masing secepat mungkin bagi memulihkan keadaan keselamatan.
Selain itu, Thailand dan Kemboja akan bekerjasama dalam usaha pembersihan periuk api serta meningkatkan kerjasama bagi membanteras jenayah siber yang turut menjadi kebimbangan serantau. – UTUSAN










