PUTRAJAYA: Kegagalan platform YouTube mengambil tindakan segera terhadap kandungan memudaratkan, khususnya berkaitan judi dalam talian, mendorong Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan saman terhadap Google.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu diambil selepas proses yang agak panjang berikutan kelewatan pihak YouTube dan Google menangani kandungan yang dilaporkan kepada mereka.
Beliau berkata, terdapat kandungan yang mengambil masa lebih 90 hari untuk diambil tindakan, malah ada yang sehingga kini masih tidak diketahui status penyelesaiannya walaupun kandungan berkenaan bersifat berulang.
“Kebanyakan kandungan yang dilaporkan kepada MCMC adalah kandungan serupa, khususnya berkaitan perjudian dalam talian.
“Adalah kerana terdapat sejumlah kandungan yang pihak berkait dengan judi dalam talian yang pihak YouTube khususnya dan Google amnya sangat culas dan sangat lewat untuk mengambil tindakan.
“Ada yang mengambil masa lebih 90 hari, ada yang sehingga ke hari ini tidak diketahui apa statusnya walaupun the nature of the content adalah bersifat berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Fahmi berkata, tindakan saman itu merupakan langkah yang dipilih MCMC bagi memastikan YouTube mematuhi kerangka kawal selia sedia ada.
Bagaimanapun, katanya, memandangkan perkara itu sudah difailkan di mahkamah, proses selanjutnya diserahkan kepada mahkamah.
“Jadi ini satu langkah yang MCMC telah pilih untuk memastikan dari segi kepatuhan pihak YouTube kepada kerangka kawal selia yang ada itu dilaksana dengan baik.
“Jadi kita serah kepada perbincangan ataupun sebab dah difail di mahkamah, maka kita serah kepada proses itu,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan tindakan saman MCMC terhadap Google tidak akan menjejaskan pelaburan syarikat itu bernilai RM15 bilion di Malaysia.
Beliau berkata, isu kawal selia kandungan memudaratkan dan pelaburan merupakan dua perkara berbeza.
Katanya, MCMC dalam menangani isu kandungan memudaratkan akan merujuk kepada Akta Keselamatan Dalam Talian serta Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian bagi menentukan takrifan kandungan berkenaan.
“Dan dia adalah perbincangan beraspek kawal selia, regulatory. Tidak berkait dengan isu pelaburan. Itu adalah perkara berasingan,” katanya. – UTUSAN











