PETALING JAYA: Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dilantik semula sebagai Profesor Adjung di Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Pelantikan bagi tempoh dua tahun itu berkuat kuasa mulai 15 November 2026 hingga 14 November 2028.
Irmohizam menerusi hantaran di Instagram berkata, pelantikan itu amat bermakna kerana beliau pernah mengikuti pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di AAGBS.
Katanya, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang UiTM dan Ahli Lembaga Pengarah universiti itu.
“Pelantikan ini satu perjalanan yang cukup istimewa untuk kembali menyumbang kepada universiti yang banyak membentuk perjalanan akademik dan profesional saya.
“Semoga amanah ini memberi ruang untuk saya terus berkongsi pengalaman, memperkaya wacana ilmu dan menyumbang kepada pembangunan pemimpin masa hadapan,” katanya.
Sebelum ini, Irmohizam dilantik sebagai Profesor Adjung di AAGBS bagi tempoh dua tahun bermula 1 September 2023. – UTUSAN









