AmBank raih untung bersih RM1.06 bilion bagi separuh pertama

AmBank raih untung bersih RM1.06 bilion bagi separuh pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AmBank Group mencatatkan peningkatan keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak 0.9 peratus kepada RM1.06 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2027 (H1FY27), berbanding RM1.05 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, peningkatan itu disokong pertumbuhan pendapatan faedah bersih sebanyak 5.9 peratus kepada RM1.96 bilion, susulan perkembangan pinjaman yang kukuh serta pengurusan kos yang berdisiplin.

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan turut meningkat 2.7 peratus kepada RM1.39 bilion, manakala keuntungan sebelum peruntukan berkembang 2.3 peratus kepada RM1.48 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2026.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendapatan bersih kumpulan meningkat 1.2 peratus kepada RM2.61 bilion, berbanding RM2.58 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, pendapatan bukan faedah susut 10.8 peratus kepada RM653 juta berikutan pendapatan dagangan lebih rendah daripada perniagaan Perbendaharaan dan Pasaran Kumpulan serta sumbangan perniagaan insurans yang lebih rendah,” katanya. 

Keadaan itu sebahagiannya diimbangi peningkatan pendapatan daripada pengurusan kekayaan dan yuran perbankan korporat.

Perbelanjaan operasi pula berkurangan 0.3 peratus kepada RM1.13 bilion, sekali gus memperbaiki nisbah kos kepada pendapatan kepada 43.2 peratus berbanding 43.8 peratus sebelumnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, prestasi separuh pertama tahun kewangan itu disokong momentum kukuh dalam perniagaan perbankan teras, khususnya pertumbuhan pendapatan faedah bersih dan pengurusan kos yang berdisiplin.

“Kedudukan modal dan kecairan kumpulan yang kukuh membolehkan AmBank meningkatkan dividen interim sebanyak 20 peratus kepada 15 sen sesaham berbanding 12.5 sen sesaham pada separuh pertama 2026,” katanya. 

Pengisytiharan dividen itu mewakili nisbah pembayaran sebanyak 47 peratus berbanding 39 peratus dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Dari segi kualiti aset, nisbah pinjaman terjejas kasar bertambah baik kepada 1.64 peratus berbanding 1.67 peratus pada akhir tahun kewangan 2026, dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman sebanyak 100.6 peratus termasuk rizab kawal selia.

Jumlah pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kasar kumpulan meningkat 7.4 peratus tahun ke tahun kepada RM150.9 bilion, disokong pertumbuhan merentas segmen Perbankan Borong, Perbankan Perniagaan dan Perbankan Runcit.

Deposit pelanggan turut berkembang 6.9 peratus kepada RM149.7 bilion, dengan deposit bertempoh meningkat 10.1 peratus kepada RM100.9 bilion.

Mengikut segmen perniagaan, Perbankan Perniagaan mencatatkan pertumbuhan keuntungan selepas cukai (PAT) tertinggi sebanyak 50.9 peratus kepada RM407.7 juta, disokong peningkatan pendapatan, pengurangan perbelanjaan operasi dan caj kemerosotan nilai yang lebih rendah.

Perbankan Runcit pula merekodkan peningkatan PAT sebanyak 22.7 peratus kepada RM142.3 juta, manakala Perbankan Borong mencatatkan penurunan 16.4 peratus kepada RM479.1 juta berikutan pengurangan pembalikan kerugian kemerosotan nilai.

Sementara itu, kumpulan kekal mempunyai kedudukan modal yang kukuh dengan nisbah modal ekuiti biasa Tahap 1 (CET1) sebanyak 14.49 peratus dan nisbah jumlah modal sebanyak 16.89 peratus selepas pengisytiharan dividen.

Mengulas prospek, Jamie berkata, asas ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan persekitaran luaran.

“Permintaan domestik yang stabil, aktiviti pelaburan berterusan dan pasaran buruh yang baik dijangka terus menyokong kegiatan perniagaan serta permintaan pembiayaan.

“Bagaimanapun, ketegangan geopolitik berterusan di Asia Barat dan pembetulan terkini dalam saham teknologi global berpotensi memberi risiko kepada pertumbuhan ekonomi dunia serta sentimen pasaran,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini