ANZ Australia jual 16.5 peratus saham dalam AmBank - Utusan Malaysia

ANZ Australia jual 16.5 peratus saham dalam AmBank

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Australia and New Zealand Banking Group Ltd. (ANZ) bersetuju untuk menjual kira-kira 546 juta saham atau 16.5 peratus daripada modal terbitannya dalam AMMB Holdings Bhd. (AmBank) pada harga RM2.1 bilion.

Pegangan saham bank keempat terbesar Australia itu dalam AmBank akan berkurangan kepada 5.2 peratus daripada 21.7 peratus sebaik sahaja jualan selesai pada 8 Mac ini.

Penjualan tersebut secara tidak langsung mengakibatkan saham AmBank jatuh sebanyak 5.0 peratus daripada RM4.24 pada Selasa dan berada pada RM3.99 sesaham pada penutup dagangan semalam.

Memetik laporan Reuters, penjualan saham yang dibuat secara blok itu, telah dinaikkan kepada 16.5 peratus kepentingan daripada sembilan peratus yang dipersetujui sebelum ini.

“Hasil jualan akan meningkatkan nisbah modal Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1) ANZ sebanyak kira-kira 16 mata asas dan tidak dijangka memberi kesan material ke atas keuntungan.

“Harga tawaran RM3.85 sesaham adalah pada diskaun 8.35 peratus kepada harga penutup saham AMMB sebanyak RM4.20 pada Selasa,” kata laporan itu.

Penjualan itu dibuat tiga tahun selepas ANZ mengumumkan ia akan melepaskan pelaburan dalam AMMB selepas bank itu menyelesaikan tuntutan yang dikaitkan dengan skandal kewangan besar-besaran di dana negara 1MDB.

Perjanjian itu adalah selaras dengan strategi ANZ, yang termasuk mengecilkan barisan perniagaan utama yang melibatkan pinjaman institusi dengan pulangan rendah dan pendedahannya kepada perbankan runcit dan kekayaan di Asia kerana bank itu ingin meningkatkan pulangan ke atas ekuitinya.

Berikutan dengan jualan itu, ANZ menyatakan ia akan terus mempunyai seorang pengarah yang dicalonkan dalam Lembaga Pengarah AmBank.

Ia juga menambah bahawa pertimbangan pengurusan modal ANZ akan termasuk perluasan modal daripada jualan itu, tertakluk pada kelulusan kawal selia.

AmBank dilaporkan telah mengadakan rundingan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dengan beberapa institusi kewangan, termasuk RHB Banking Group dan Grab Holdings Ltd, sejak beberapa tahun lalu.

Namun begitu, belum ada perjanjian yang menjadi kenyataan setakat ini daripada rundingan-rundingan terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN