IPOH: Tindakan tegas boleh diambil terhadap pemilik hartanah persendirian dan pemaju swasta di kawasan Kampung Baru yang membiarkan lot tanah mereka menjejaskan kualiti hidup komuniti setempat.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang, kompaun, tuntutan kos kerja-kerja pembersihan, pendakwaan di mahkamah sehingga ke tindakan perletakhakan semula boleh dikenakan.
“Kerajaan negeri mengambil maklum dan memandang serius berkaitan isu tanah serta rumah milik persendirian atau pemaju swasta yang dibiarkan terbiar tanpa penyelenggaraan.
“Sehingga menimbulkan kacau ganggu seperti pertumbuhan semak samun yang tidak terkawal, tempat pembiakan nyamuk Aedes dan haiwan perosak, serta pembuangan sampah haram yang menjejaskan keselesaan, keselamatan dan kesihatan awam penduduk sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) mengenai pemerkasaan Kampung Baru dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Saarani berkata, beberapa tindakan itu boleh diambil mengikut perundangan Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Sementara itu, Saarani berkata, usaha memastikan anak muda tempatan kekal atau kembali menetap di kampung halaman perlu diperhalusi lebih lanjut kerana melibatkan perancangan ekonomi setempat.
“Kawasan sekitar Kampung Baru haruslah berupaya menyediakan peluang pekerjaan dan gaji yang setimpal bagi memastikan golongan muda memilih untuk kekal tinggal di Kampung-kampung Baru dan tidak bermigrasi ke kota-kota besar seperti Singapura dan Lembah Klang yang menawarkan peluang pendapatan yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN











