WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meminta Presiden Russia, Vladimir Putin, menghentikan semua tindakan ketenteraan terhadap wilayah di Eropah ketika pertemuan mereka di China minggu lalu.
Trump berkata, permintaan itu dibuat bagi membuka jalan kepada rundingan antara Moscow dan Kyiv untuk menamatkan perang di Ukraine yang berlarutan sejak Februari 2022.
Beliau berkata demikian sehari selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua NATO, Mark Rutte, di Florida.
Kedua-dua pemimpin turut mengeluarkan kenyataan bersama yang menggesa Russia supaya tidak meluaskan konflik di Ukraine.
Menerusi hantaran di platform Truth Social semalam, Trump berkata beliau menghabiskan banyak masa ketika pertemuan dengan Putin bagi menyampaikan hasrat supaya Moscow menghentikan segala tindakan ketenteraan di wilayah Eropah.
Menurutnya, langkah itu diharapkan dapat mempercepatkan usaha mencapai perjanjian damai antara Rusia dan Ukraine.
“Saya benar-benar percaya perkara ini berkemungkinan besar dapat dicapai. Ribuan orang terbunuh setiap bulan. Ini satu pertumpahan darah besar-besaran dan kejayaan mencapai perjanjian itu akan menjadi penghormatan besar kepada semua pihak,” katanya.
Kenyataan terbaharu itu menunjukkan perubahan nada Trump terhadap Putin, yang disifatkannya sebagai sahabatnya ketika bercakap minggu lalu.
Bagaimanapun, Trump tidak memperincikan wilayah Eropah yang dimaksudkannya atau menyebut secara khusus Ukraine dalam kenyataan berkenaan.
Russia melancarkan serangan ke atas Ukraine pada Februari 2022, mencetuskan konflik yang menjadi perang terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Bagaimanapun, negara-negara Eropah semakin bimbang dengan tindakan Russia yang dianggap sebagai provokasi, termasuk insiden tiga peluru berpandu kruis Russia yang mendarat di Poland minggu lalu.
Dalam kenyataan bersama pada Rabu, Trump dan Rutte berkata, mereka membincangkan kepentingan Russia mengelakkan sebarang tindakan yang boleh meluaskan perang, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Trump yang sedang menghabiskan cuti Hari Kesyukuran di resort Mar-a-Lago, turut memuat naik semula kenyataan bersama itu menerusi platform Truth Social, tidak lama sebelum mengeluarkan kenyataan terbaharunya mengenai Putin.
Berbeza dengan kritikan Trump sebelum ini terhadap Ukraine berhubung serangan ke atas sasaran jauh di dalam wilayah Russia, pemimpin AS itu tidak menggesa Kyiv supaya turut menahan diri daripada melakukan tindakan sedemikian.- AFP











