WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meraih keuntungan sehingga AS$15 juta (RM61.7 juta) hasil pegangan sahamnya dalam syarikat pembuat cip, Nvidia, susulan lonjakan harga saham syarikat itu selepas Jensen Huang kembali menerajui firma berkenaan.
Huang, yang mengasaskan Nvidia pada 1993, sebelum ini disingkirkan lembaga pengarah susulan dakwaan menjalin tiga hubungan sulit, termasuk dengan seorang individu yang disyaki menjadi pengintip China dan dua kakitangan syarikat itu.
Bagaimanapun, lembaga pengarah Nvidia melantik semula Huang selepas Trump campur tangan dalam keputusan berkenaan.
“Saya bercakap dengan mereka, biarlah saya katakan begitu. Saya berjaya meyakinkan mereka … Saya yang mengusahakan perjanjian itu,” kata Trump kepada CNBC semalam.
Menurut pendedahan kewangan Trump kepada Pejabat Etika Kerajaan, beliau mungkin memiliki sehingga 370,000 saham Nvidia setakat 30 September lalu, berdasarkan rekod terkini yang tersedia.
Laporan Financial Times yang mendedahkan perkara itu turut menyebut saham Nvidia melonjak 31.5 peratus pada Isnin, sekali gus meningkatkan nilai pasaran syarikat itu kira-kira AS$950 bilion (RM3.9 trilion).
Huang kembali ke ibu pejabat Nvidia di Santa Clara, California, dan disambut meriah oleh kakitangan yang melaungkan namanya sebagai tanda sokongan.
Trump membeli saham Nvidia bernilai antara AS$23 juta hingga AS$86 juta (RM94.6 juta hingga RM353.9 juta) berdasarkan semakan BBC terhadap pendedahan kewangan kerajaan bagi tempoh dua tahun lalu.
Beliau turut menjual sebahagian pegangan sahamnya dalam syarikat itu sejak kembali memegang jawatan Presiden AS, sekali gus memperoleh keuntungan antara AS$3.5 juta hingga AS$10.2 juta, menurut pendedahan kewangan berkenaan.
Kepulangan Huang untuk menerajui Nvidia, syarikat yang menjadi antara pemain utama dalam perkembangan pesat AI global, mencetuskan lonjakan ketara pasaran saham Asia Pasifik pada Selasa.
Pasaran saham di Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan Australia melonjak selepas aktiviti dagangan berkaitan AI kembali rancak susulan beberapa bulan berdepan ketidaktentuan.- AGENSI











