Malaysia tidak perlu bergantung pada Washington

Malaysia tidak perlu bergantung pada Washington

KEKALAHAN Republikan dan kebangkitan Demokrat di Kongres Amerika Syarikat (AS) menjadi pengajaran bahawa keangkuhan kuasa dan peminggiran nilai kemanusiaan akhirnya ditolak rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Pilihan Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan peralihan penguasaan Kongres kepada Parti Demokrat telah mencetuskan perbincangan meluas dalam geopolitik antarabangsa. 

Fenomena ‘Tsunami Biru’ yang melanda Capitol Hill bukan sekadar referendum rakyat AS terhadap kepimpinan Presiden Donald Trump, turut mengundang reaksi emosi masyarakat dunia yang rata-ratanya melihat kekalahan Parti Republikan sebagai tamparan moral terhadap dasar pentadbiran yang agresif. 

Selain itu, kejayaan Abdul El-Sayed di Michigan sebagai senator Muslim dalam sejarah perundangan negara ‘Uncle Sam’ itu melengkapkan naratif kemenangan moral golongan minoriti. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun demikian, bagi negara berdaulat seperti Malaysia, penilaian terhadap landskap kuasa di Washington perlu diimbangi lensa politik matang, bukan sekadar terjebak dalam euforia atau ilusi dasar luar kuasa besar akan berubah secara drastik.

Kekalahan Parti Republikan meletakkan Presiden Trump dalam status yang dikenali lame duck. Kehilangan majoriti di Dewan Perwakilan dan Senat melumpuhkan keupayaan eksekutifnya dalam menjayakan agenda domestik secara unilateral. 

Kuasa menggubal undang-undang, kelulusan belanjawan persekutuan dan pembaharuan cukai kini tertakluk kepada kompromi politik dengan Parti Demokrat. Biarpun Kongres memegang kuasa kewangan  yang mampu mencetuskan penutupan operasi kerajaan sekiranya kompromi gagal dicapai, namun kuasa seorang Presiden dalam dasar luar dan operasi ketenteraan kekal utuh. 

Sejarah membuktikan presiden terdahulu, daripada Bill Clinton hingga Barack Obama, sering mengalihkan tumpuan ke pentas antarabangsa apabila laluan perundangan domestik disekat. 

Melalui kerangka eksekutif dan kelemahan mekanisme semak imbang undang-undang seperti Resolusi Kuasa Perang, Presiden masih berkeupayaan melancarkan operasi ketenteraan berintensiti tanpa memerlukan pengisytiharan perang rasmi daripada Kongres.

Realiti ini menegaskan pertukaran penguasaan Kongres tidak semestinya menatijahkan perubahan drastik terhadap strategi geopolitik AS di Asia Barat mahupun rantau Asia Pasifik. 

Walaupun kemenangan figura seperti El-Sayed melambangkan penolakan terhadap pengaruh dana pelobi pro-Israel seperti Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Israel Amerika (AIPAC) di peringkat negeri, namun struktur kekuasaan di Washington kekal terikat dengan doktrin sekuriti yang tegar. 

Tokoh kepimpinan Demokrat masih berkongsi pandangan asas yang sama mengenai kepentingan strategik Israel di rantau Arab, meskipun wujud desakan daripada sayap progresif parti yang menuntut penghentian campur tangan ketenteraan. 

Oleh yang demikian, harapan kekalahan Republikan akan menamatkan sokongan ketenteraan Washington terhadap kekejaman Zionis atau meredakan pergeseran bersenjata dengan Iran hanya andaian yang terlalu awal. 

Ini kerana di pentas kuasa besar, dasar luar sering kali didorong kepentingan strategik yang melangkaui batas partisan.

Bagi Malaysia, perubahan dinamik kuasa di Washington mempunyai implikasi langsung terhadap dasar luar, ekonomi dan keselamatan serantau. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia secara konsisten mengamalkan dasar berkecuali berprinsip dan tegas menyuarakan pendirian pro-Palestin di pentas global, di samping mengukuhkan hubungan perdagangan pelbagai hala termasuk penyertaan dalam  platform BRICS. 

Penolakan rakyat Amerika terhadap dasar agresif pentadbiran Trump memberi ruang bernafas dari segi tekanan diplomatik, memandangkan Kongres yang dikuasai Demokrat lebih cenderung kepada diplomasi pelbagai hala berbanding pendekatan unilateral mendadak. 

 

PENGAJARAN BUAT MALAYSIA 

Namun begitu, kepimpinan negara tidak boleh leka. Malaysia yang kini berdepan cabaran ketegangan rantaian bekalan global, persaingan teknologi antara AS dan China, serta cabaran undang-undang sekatan unilateral AS terhadap syarikat yang dituduh melanggar sekatan Iran, perlu terus berwaspada. 

Kongres baharu mungkin memperhebat pemantauan terhadap isu hak asasi, ketelusan buruh dan kawalan teknologi tinggi, yang kesemuanya berkait rapat dengan sektor semikonduktor serta eksport utama negara.

Jika ditinjau melalui kerangka falsafah politik Islam, perubahan tampuk kepimpinan dan pergeseran kuasa ini mencerminkan hukum alam atau sunnatullah yang abadi tentang sifat kekuasaan yang sentiasa berputar. 

Kuasa politik bukanlah entiti mutlak yang kekal menjadi milik individu atau empayar tertentu, sebaliknya merupakan amanah yang silih berganti.

Konsep penggiliran kuasa turut diperincikan  ilmuwan Islam terkemuka, Ibnu Khaldun, dengan menghuraikan kitaran peradaban dan kekuasaan (daulah) yang bermula dengan kekuatan solidariti sosial (asabiyyah), mencapai kemuncak keagungan, dan akhirnya merosot apabila para pemerintah mula terjerumus ke dalam keangkuhan, kezaliman serta penyalahgunaan kuasa. 

Apabila kepimpinan kehilangan legitimasi moral dan mengabaikan kesejahteraan rakyat, maka struktur kekuasaan tersebut secara fitrahnya akan runtuh dari dalam. 

Kenyataan angkuh Trump bahawa partinya hanya tewas kerana ketiadaan namanya di atas kertas undi menggambarkan kehilangan sentuhan realiti yang sering menghinggapi penguasa yang berada di fasa kejatuhan, jika di analisis menerusi teori ibnu Khaldun.

Profesor Diraja Ungku Aziz dan Syed Muhammad Naquib al-Attas sering menekankan peri pentingnya keadilan sebagai asas kestabilan masyarakat. Syed Naquib mentakrifkan keadilan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul mengikut hakikat dan maruah insani, manakala kezaliman bermaksud meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. 

Campur tangan ketenteraan yang meragut nyawa insan tidak berdosa di rantau lain serta ketidakadilan pengagihan ekonomi domestik adalah manifestasi kezaliman yang akhirnya melahirkan penolakan rakyat. 

Tokoh seperti Sheikh Yusuf al-Qaradawi juga menggariskan kezaliman seorang pemerintah, walaupun disokong ketenteraan, tidak akan dapat bertahan melawan hukum moral yang ditetapkan oleh Pencipta.

Perlu dilihat, kekalahan Republikan dan kebangkitan Demokrat di Kongres AS menjadi pengajaran keangkuhan kuasa dan peminggiran nilai kemanusiaan akhirnya ditolak rakyat. 

Malaysia pula perlu berdiri atas kekuatan sendiri dengan memperkukuh ekonomi, kesatuan ASEAN dan jaringan diplomatik tanpa bergantung kepada kuasa Washington. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Unit Pengajian Islam dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini