BEIJING: Stesen angkasa Tiangong milik China menyediakan lebih 100 jenis hidangan halal khas bagi menyambut ketibaan tetamu asing pertamanya, angkasawan Pakistan, Muhammad Zeeshan Ali.
Menurut laporan penyiar rasmi CGTN, antara menu tradisional yang disediakan khas buat Muhammad Zeeshan termasuk daging nihari, kurma kambing, kari kacang kuda dan ayam mentega.
Persiapan itu dibuat susulan ketibaan Muhammad Zeeshan yang mencatat sejarah sebagai angkasawan asing pertama memasuki stesen angkasa China selepas berlepas menaiki kapal angkasa Shenzhou-24 pada Rabu.
Misi tiga kru itu turut disertai komander dari China, Tang Hongbo dan jurutera penerbangan, Wu Yi yang dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China.
Ketika sesi perkenalan bersama rakan setugasnya di dalam stesen angkasa berkenaan, Muhammad Zeeshan sempat mendeklamasikan rangkap puisi karya penyair terkenal Pakistan, Allama Muhammad Iqbal sebelum menterjemahkannya untuk pemahaman kru China.
“Di sebalik bintang-bintang terbentang lebih banyak dunia, dan masih banyak lagi ujian keghairahan yang menanti,” katanya.
Beliau menyifatkan peluang menjadi angkasawan asing pertama di stesen angkasa itu sebagai pengalaman yang amat mengujakan dan menyifatkan impian zaman kanak-kanaknya kini menjadi kenyataan.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata, misi bersama tersebut menandakan pencapaian baharu dalam kerjasama antarabangsa bagi program penerbangan angkasa lepas bermanusia negara berkenaan.
“Stesen angkasa China adalah stesen keamanan, persahabatan dan kerjasama.
“Beijing akan terus bekerjasama dengan Pakistan serta negara lain untuk menjunjung penggunaan angkasa lepas secara aman, memperkukuh kerjasama program angkasa antarabangsa, menambah baik tadbir urus angkasa global dan memastikan hasil penerokaan memberi manfaat kepada seluruh umat manusia,” katanya.
Beliau menegaskan stesen angkasa Tiangong bukan sekadar kediaman bagi angkasawan China, malah menjadi platform penyelidikan saintifik global dengan Beijing sedia bekerjasama dengan lebih banyak negara untuk meneroka angkasa bersama. – AGENSI










