BEIJING: China berjaya melancarkan misi angkasa lepas Shenzhou-23 pada Ahad yang menyaksikan seorang angkasawan negara itu bakal menghabiskan masa selama setahun penuh di orbit buat kali pertama dalam sejarah perancangan angkasa mereka.
Langkah besar ini disifatkan sebagai persediaan kritikal buat Beijing yang meletakkan sasaran tinggi untuk menghantar manusia ke bulan menjelang tahun 2030.
Roket pengangkut Long March 2-F dilaporkan berlepas tepat pada jam 11.08 malam waktu tempatan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan yang terletak di kawasan Gurun Gobi, barat laut China.
Visual yang disiarkan oleh stesen televisyen rasmi CCTV memaparkan detik pelancaran roket tersebut yang menjulang ke angkasa bersama gumpalan asap tebal dan api.
Agensi Angkasa Lepas Bermanusia China (CMSA) menerusi kenyataan di media sosial mengesahkan bahawa kapal angkasa Shenzhou-23 telah berjaya berpisah daripada roket pengangkut sekitar 10 minit kemudian sebelum memasuki orbit yang ditetapkan.
Misi kali ini turut mencuri tumpuan dunia apabila pakar muatan, Li Jiaying yang juga merupakan bekas inspektor polis Hong Kong, dipilih untuk menjadi angkasawan pertama dari wilayah tersebut yang menyertai misi angkasa lepas China.
Beliau menyertai dua lagi krew berpengalaman iaitu komander penerbangan, Zhu Yangzhu serta juruterbang, Zhang Yuanzhi yang mana kedua-duanya merupakan pegawai daripada divisyen angkasawan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).
Mengikut perancangan asal, salah seorang daripada tiga angkasawan ini akan ditempatkan di stesen angkasa Tiangong selama setahun berturut-turut.
Tempoh berkenaan bakal merekodkan antara misi angkasa lepas paling lama dalam sejarah dunia, meskipun masih belum dapat memecahkan rekod mutlak 14 bulan setengah yang pernah dicatatkan oleh angkasawan Russia pada tahun 1995.
Pihak CMSA memaklumkan pemilihan individu yang akan tinggal selama setahun itu hanya akan diputuskan kemudian berdasarkan perkembangan semasa misi tersebut.
Pelancaran terbaharu ini dilakukan ketika persaingan meneroka bulan antara China dan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan semakin sengit.
Sebelum ini, pihak Washington pernah mengeluarkan amaran terbuka dan menuduh kononnya Beijing mempunyai agenda tersembunyi untuk menjajah serta mengaut hasil bumi dan sumber mineral di permukaan bulan., tuduhan liar berkenaan telah ditolak sekeras-kerasnya oleh pihak kerajaan China. -AGENSI










