TAIPING: Dara, Amoi dan Kelat perlu dibawa pulang ke negara ini apabla Zoo Tennoji di Osaka, Jepun didakwa tidak sesuai untuk menempatkan tiga ekor gajah itu kerana keluasannya yang menghadkan pergerakan haiwan berkenaan.
Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (Perkam), Profesor Dr. S. Santharanasekaran berkata, pihaknya sudah mempunyai empat laporan pakar termasuk Amerika Syarikat, kepada agensi berkaitan berhubung keadaan ketiga-tiga ekor gajah itu.
Katanya, laporannya sendiri dijangka siap dalam masa seminggu selepas menghabiskan tiga hari di Zoo Tennoji serta menilai ruang kurungan, kemudahan dan makanan yang disediakan.
“Kesimpulan yang saya boleh buat, Zoo Tennoji tidak sesuai untuk memelihara gajah kita. Dari segi keluasan dah gagal, Dak perlu dibawa pulang segera”. katanya kepada pemberita ketika ditemui pada himpunan Demo Aman Dara, Amo dan Kelat di perkarangan Zoo Taiping, semalam.
Tambahnya, laporan daripada seorang doktor veterinar bebas yang turut memerhatikan gajah tersebut akan diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.
Malah, Santharanasekaran menjelaskan, pergerakan Dara, Amoi dan Kelat dalam kurungan yang kecil membataskan pergerakan haiwan itu turut dibimbangi ketika suhu persekitaranya jatuh sehingga 10 darjah Celsius.
Sementara itu, aktivis Perkam, Dr. Siti Rabiah Raws berkata, doktor veterinar dari Amerika Syarikat yang mempunyai pengalaman 37 tahun bekerja dengan gajah telah menggesa supaya Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang secepat mungkin selepas melihat sendiri keadaan mereka.
Katanya, laporan itu akan dikemukakan antaranya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Zoo Taiping, selain dikongsi dengan media.
“Saya tempatkan staf saya empat orang bergilir-gilir setiap hari untuk membuat pemantauan selama 7 bulan bagi memerhati Dak dan semua kos itu adalah atas kos saya sendiri,” jelasnya.
Katanya, rakaman video sepanjang pemantauan dikemukakan kepada empat pakar gajah. Menurutnya, pakar berkenaan menyuarakan kebimbangan terhadap tekanan yang dialami ketiga-tiga gajah itu dan menggesa supaya tindakan segera diambil.
Sementara itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Majlis Perbandaran Taiping (MPT) digesa menjelaskan keperluan memorandum persefahaman (MoU) pemindahan tiga ekor gajah, Dara, Amoi dan Kelat, ke Jepun diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). – UTUSAN











