KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa sengaja memilih untuk ‘menutup mata’ berhubung kemasukan wang berjumlah RM25.3 juta ke dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, sebagai Presiden parti, tertuduh bukanlah sekadar ‘boneka’ dalam Bersatu, sebaliknya mempunyai kawalan dan akses langsung terhadap akaun bank parti itu.
Katanya, kegagalan tertuduh selaku pemegang amanah dan penandatangan sah (authorised signatory) untuk menyemak sumber wang besar yang masuk secara kerap itu disifatkan sebagai ‘wilful blindness’ atau sengaja membutakan mata terhadap perkara yang nyata.
“Jika tertuduh ada sedikit usaha untuk ambil tahu sumber wang RM25.3 juta tersebut, maka tertuduh sudah tentu akan tahu bahawa transaksi itu melibatkan individu atau syarikat yang sama, yang memohon sokongan melalui surat-surat yang dihantar terus kepada tertuduh.
“Kegagalan tertuduh menyemak kesemua transaksi kewangan berjumlah RM25.3 juta yang masuk ke dalam akaun-akaun Bersatu itu menunjukkan beliau tidak ada syak wasangka tentang sumber wang tersebut.
“Ini menunjukkan tertuduh mengetahui akan kewujudan wang RM25.3 juta itu di dalam akaun-akaun Bersatu,” katanya pada hujahan lisan di akhir kes pendakwaan bagi tiga pertuduhan Muhyiddin yang menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan di sini, hari ini.
Tambah Wan Shaharuddin, tindakan tertuduh juga bertentangan dengan kedudukan sebagai Perdana Menteri ketika pertemuan bersama saksi pendakwaan ke-27 (SP27) iaitu Pengarah KCJ Engineering Sdn Bhd, Datuk Seri Azman Yusoff di Tropicana Golf Club.
Dalam hujahannya, kejadian itu berlaku apabila Azman bertanyakan kepada Muhyiddin mengenai sebarang projek untuk kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.
“Tertuduh ada juga menyatakan secara spontan kepada SP27 semasa di Tropicana Golf Club, jika terdapat ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia ataupun kontraktor yang ingin membuat sumbangan, boleh sumbangkan terus kepada Bersatu.
“Permintaan tertuduh itu hanya menunjukkan seawal di Tropicana Golf Club lagi tertuduh memikirkan tentang kepentingan kepada sekutu tertuduh iaitu Bersatu,” katanya.
Dalam hujahan sama, pihak pendakwaan mendakwa tindakan itu ‘membuka jalan’ dan memudahkan tiga syarikat iaitu KCJ, Nepturis serta Sutracom memasuki proses penilaian Jawatankuasa Penilaian Jana Wibawa di Kementerian Kewangan.
Katanya, walaupun tujuan sebenar di sebalik tindakan tertuduh tidak dapat dilihat dengan mata kasar tanpa pengakuan, mahkamah boleh menilainya melalui kelakuan terdahulu serta rangkaian keterangan ikut keadaan secara kumulatif.
“Tindakan tertuduh ini memang telah membuka jalan dengan membantu untuk memudahkan syarikat-syarikat ini untuk mendapat projek tersebut.
“Kesemua hujahan kami menjuruskan tertuduh memang mengetahui sumber wang RM25.3 juta adalah bukan daripada sumber yang sah,” katanya.
Pada prosiding hari ini, Muhyiddin diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad dan Chetan Jethwani.
Mengikut tiga pertuduhan, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu.
Suapan tersebut adalah daripada empat syarikat antaranya Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn. Bhd. dan KCJ Engineering Sdn. Bhd. serta Pengarahnya, Datuk Seri Azman Yusof.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung pada 1 Disember ini bagi hujahan balas pihak pembelaan. – UTUSAN











