Unjuran FBM KLCI diturunkan kepada 1,670 mata akhir tahun ini - Utusan Malaysia

Unjuran FBM KLCI diturunkan kepada 1,670 mata akhir tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan risiko global membabitkan hutang, kadar faedah dan penilaian ekuiti mendorong Rakuten Trade Research menurunkan sasaran akhir tahun 2026 bagi Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) kepada 1,670 mata berbanding 1,770 mata sebelum ini.

Semakan itu mencerminkan pendekatan lebih berhati-hati firma penyelidikan berkenaan terhadap pasaran saham, susulan ketidaktentuan global yang dijangka terus mempengaruhi aliran dana dan sentimen pelabur.

Ia merupakan penurunan sasaran bagi suku kedua berturut-turut selepas firma itu pada Jun lalu menyemak turun unjuran FBM KLCI daripada 1,800 mata kepada 1,770 mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Rakuten Trade mengekalkan pandangan positif terhadap prospek jangka sederhana pasaran tempatan dengan menetapkan sasaran indeks pada 1,760 mata bagi 2027.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee, berkata kos tenaga dan kadar faedah yang tinggi menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada pembentukan gelembung dalam pasaran global, sekali gus meningkatkan risiko pembetulan sekiranya keadaan itu tidak reda secara teratur.

Katanya, Malaysia tidak berada di pusat risiko berkenaan, namun faktor luaran dijangka terus menjadi penentu utama pergerakan aliran dana.

“Malaysia bukan berada di pusat risiko berkenaan, namun faktor luaran akan mendominasi aliran dana,” katanya.

Rakuten Trade menetapkan sasaran FBM KLCI bagi 2026 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 15.5 kali, lebih rendah berbanding andaian terdahulu 16.5 kali berikutan profil risiko dan pulangan pasaran yang semakin merosot.

Bagi 2027, firma itu menggunakan parameter penilaian sama dengan mengambil kira unjuran pertumbuhan pendapatan sebanyak 5.5 peratus.

Kenny berkata, pihaknya mengunjurkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 9.5 peratus bagi 2026, yang sebahagian besarnya mengambil kira pelarasan ketara membabitkan Petronas Chemicals Group Bhd.

“Asas ekonomi Malaysia kekal utuh, namun kita perlu terus berwaspada ketika gelembung berkenaan masih berkembang,” katanya.

Dari segi aliran dana, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih ekuiti tempatan sejak suku kedua tahun ini, manakala institusi tempatan muncul sebagai pembeli utama.

Pelabur runcit turut mengekalkan kedudukan sebagai pembeli bersih walaupun FBM KLCI mengalami penyusutan daripada sekitar 1,740 mata kepada kira-kira 1,600 mata antara September dan Oktober lalu.

Menurut beliau, tekanan jualan sejak kebelakangan ini bagaimanapun menjadikan penilaian saham tempatan lebih menarik kepada pelabur yang mahu terus berada dalam pasaran.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan pasaran yang mengalami penilaian terlalu tinggi, apabila profil risiko dan pulangan semakin kurang menarik.

Dari segi strategi pelaburan, Rakuten Trade memberi keutamaan kepada sektor yang mempunyai sokongan permintaan domestik dan dasar kerajaan, khususnya perbankan serta tenaga elektrik.

Firma itu turut menaik taraf penarafan sektor minyak dan gas serta penjagaan kesihatan, selain menyenaraikan Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Group Holdings Bhd, Gamuda Bhd, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd sebagai saham pilihan.

Dalam pada itu, perkembangan dasar monetari Bank of Japan (BOJ), hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat (AS) serta tekanan jualan berterusan oleh pelabur asing kekal antara faktor yang perlu diperhatikan.

Rakuten Trade turut menjangkakan ringgit diniagakan dalam lingkungan RM4.00 hingga RM4.10 berbanding dolar AS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini