BAITULMUQADDIS: Parti Likud pimpinan Perdana Menteri sementara Israel, Benjamin Netanyahu secara rasmi mencabar keputusan pilihan raya baru-baru ini dengan memohon pengundian semula diadakan di 120 pusat mengundi, menurut laporan media tempatan.
Akhbar Yedioth Ahronoth melaporkan Likud memfailkan rayuan di Mahkamah Daerah Baitulmuqaddis yang bersidang sebagai mahkamah pentadbiran bagi membatalkan keputusan di 120 pusat mengundi terbabit dan memerintahkan pengundian baharu dijalankan di lokasi berkenaan.
Menurut akhbar Haaretz, parti itu mengemukakan afidavit yang mendakwa berlaku salah laku di puluhan pusat mengundi di bandar-bandar Arab, kebanyakannya membabitkan pemindahan maklumat identiti pengundi yang melanggar ketetapan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat dan Mahkamah Agung.
“Bagaimanapun, rayuan itu tidak menyertakan bukti berlakunya rasuah pilihan raya atau penipuan secara meluas,” lapor akhbar tersebut.
Haaretz memetik sumber Likud yang enggan dinamakan berkata, parti itu menyedari ia kekurangan bukti mengenai penipuan sistematik atau pembelian undi, justeru menumpukan cabaran kepada isu perkongsian maklumat identiti pengundi dan penggunaannya dalam aplikasi untuk menggalakkan orang ramai keluar mengundi.
Pegawai di Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat bagaimanapun berpandangan bahawa sekalipun dakwaan itu berjaya dibuktikan, ia tetap tidak mempunyai asas undang-undang yang kukuh untuk membatalkan keputusan di pusat-pusat mengundi berkenaan.
Mengulas tindakan rayuan itu, parti Yashar pimpinan Gadi Eisenkot menuduh Likud sengaja cuba menjejaskan keabsahan keputusan pilihan raya tersebut.
“Mereka yang mahukan perpaduan sebenar tidak akan melancarkan kempen berterusan untuk mempertikaikan kesahihan keputusan pilihan raya demokratik serta berkeras menafikan kehendak rakyat,” kata Yashar seperti dipetik Yedioth Ahronoth.
Eisenkot kini berdepan tarikh akhir pada 6 Disember bagi membentuk kerajaan baharu di bawah mandat yang diberikan oleh Presiden Isaac Herzog, yang boleh dilanjutkan selama 14 hari lagi.










