KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan pelan tindakan menerusi 17 syor penambahbaikan keselamatan secara berfasa bagi memperketat kawalan serta saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan semua pintu masuk antarabangsa negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan tindakan itu diluluskan Jemaah Menteri pada 19 Ogos lalu menerusi Memorandum Bersama (MJM) Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).
Beliau berkata, 17 syor substantif itu dirangka berdasarkan tiga teras utama iaitu Keselamatan Penerbangan, Keselamatan Negara dan Sempadan serta Keselamatan Fizikal dan Perlindungan.
Menurutnya, pelaksanaannya dibahagikan kepada tiga fasa iaitu jangka pendek antara sifar hingga enam bulan, sederhana antara enam hingga 24 bulan dan jangka panjang melebihi 24 bulan.
“Bagi pelaksanaan secara berfasa, Fasa 1 syor Jangka Pendek bertumpu kepada penutupan kelompongan kawalan secara optimum menggunakan punca kuasa, anggota, dan aset sedia ada.
“Ia merangkumi mengetatkan tapisan e-Vetting pas keselamatan, penguatkuasaan ujian dadah rawak ke atas juruterbang dan kru penerbangan serta pusingan kerja berkala petugas zon terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai langkah proaktif jangka pendek dan panjang bagi memastikan pengedaran dadah secara besar-besaran melalui KLIA tidak berulang.
Saifuddin Nasution berkata, langkah jangka pendek itu turut merangkumi peningkatan kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), cadangan penempatan semula Unit K9 Narkotik PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di zon pelepasan khas serta bagasi berisiko.
Selain itu, integrasi risikan pengembara menerusi Pusat Kawalan Imigresen Nasional (NICC) turut menjadi antara langkah yang dirancang.
Katanya, Fasa 2 bagi tempoh jangka sederhana pula memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan baharu serta perolehan aset strategik berteknologi tinggi.
Antara langkah dirancang termasuk pembekalan pengimbas bagasi berkuasa tinggi dan pengimbas badan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berkeupayaan analitik kecerdasan buatan (AI) serta pengukuhan Unit K9 PDRM.
Usaha itu turut merangkumi integrasi data NICC dan pemantapan latihan tenaga kerja berkemahiran khusus.
Bagi Fasa 3, beliau berkata, kerajaan komited melaksanakan pemodenan dan transformasi sistem keselamatan nasional secara menyeluruh.
Langkah itu termasuk penggantian pengimbas bagasi dan badan generasi baharu berteknologi AI di seluruh pintu masuk negara, selain pengubahsuaian infrastruktur terminal dan kargo mengikut tahap risiko.
Menurutnya, kerajaan juga akan menegaskan peranan NICC sebagai pusat risikan nasional serta memperluas piawaian kawalan keselamatan yang seragam dan bersepadu di semua pintu masuk udara, darat dan laut negara. – UTUSAN











