Juruterbang TUDM didakwa jadi pengangkut dadah

Juruterbang TUDM didakwa jadi pengangkut dadah

HUSSEIN Omar Khan menyampaikan pampasan kematian ketika menziarahi keluarga Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob di Kampung Tengah Genting, Pengkalan Kubor, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditahan bersama 12 yang lain susulan penemuan 96.6 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang, Selangor baru-baru ini berperanan sebagai koordinator dan transporter atau pengangkut dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan masih dilakukan termasuk upah yang diterima mereka.

Katanya, setakat ini sindiket dipercayai membawa bekalan dadah dari Subang ke Labuan dan Tawau, Sabah tetapi polis tidak menolak kemungkinan ia turut dibawa ke destinasi lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila membabitkan sindiket, setiap daripada mereka mempunyai peranan masing-masing. Begitu juga dengan jumlah tangkapan membabitkan setakat ini 13 individu yang menjadi sebahagian ahli sindiket.

“Untuk juruterbang berkenaan, peranan dia adalah selain koordinator, dia juga sebagai transporter untuk membawa bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah.

“Berapa bayaran upah yang diterima masih dalam siasatan dan kita tidak boleh dedahkan lagi,” katanya ketika ditemui semasa Lawatan Kebajikan dan Penyerahan Replika Cek Insuran Kelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Geting semalam.

Sebelum ini, polis mengesahkan 13 individu termasuk tujuh anggota dan pegawai TUDM sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan 96.6kg dadah jenis syabu bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang.

Selain tujuh anggota dan pegawai TUDM, enam lagi membabitkan orang awam termasuk dua koordinator sindiket dengan semua tangkapan dilakukan di sekitar Lembah Klang, Labuan dan Sabah.

Hussein berkata, polis sudah mengenal pasti beberapa lagi ahli sindiket sebelum tangkapan dilakukan.

“Setakat ini seperti mana yang dimaklumkan kita sudah melakukan 13 tangkapan terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan pembabitan lain-lain ahli sindiket dan beberapa individu sudah dikenal pasti untuk tindakan lanjut. 

“Maklumat lain termasuk berapa trip sudah dibawa menggunakan aset tentera juga masih dalam siasatan. Bagi ruang kepada pihak polis untuk selesaikan siasatan, selepas ini Ketua Polis Negara akan berkongsi hasil siasatan nanti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini