SEREMBAN: Ketua sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak 1990-an ditembak mati dalam satu operasi di sebuah rumah teres di Garden Homes, Seremban 2, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan operasi kira-kira pukul 1.30 petang itu, suspek lelaki tempatan berusia 52 tahun terbabit ditembak selepas bertindak agresif ketika polis menyerbu premis yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah.
Katanya, pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan pelbagai jenis dadah disyaki MDMA dengan nilai keseluruhan kira-kira RM27.5 juta.
“Semasa serbuan dibuat, seorang suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan JSJN Bukit Aman.
“Bagi mempertahankan diri, pasukan serbuan terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek sebelum dia didapati tidak sedarkan diri dan pihak hospital mengesahkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian akibat tembakan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini hari ini.
Semalam media melaporkan seorang suspek dipercayai terlibat kes dadah maut ditembak dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Garden Homes, Seremban 2, di sini.
Hussein dalam pada itu berkata, rampasan itu membabitkan keseluruhan 182.39 kilogram (kg) dadah disyaki MDMA dalam bentuk cecair, ketulan, pil dan serbuk serta pelbagai peralatan memproses dadah dan sepucuk senjata api jenis revolver yang turut ditemukan di lokasi kejadian.
“Susulan serbuan itu, dua lagi siri serbuan dilakukan di sekitar Seremban 2 dan Tropicana Residence, Kuchai Lama, Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan dua ahli sindiket, masing-masing wanita dan lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 35 tahun.
“Tiada dadah ditemukan di kedua-dua lokasi berkenaan, namun siasatan mendapati kedua-dua suspek terbabit membantu kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah bersama suspek yang ditembak mati untuk pasaran tempatan serta luar negara,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Januari lalu, dengan menjadikan kawasan perumahan berkepadatan penduduk rendah sebagai lokasi pemprosesan dan pengedaran dadah bagi mengaburi kegiatan mereka manakala rumah teres berkenaan dipercayai disewa selama kira-kira setahun.
“Suspek utama yang ditembak mati ini adalah ketua sindiket yang sangat aktif dan berbahaya serta memiliki senjata api.
“Dia dipercayai mempunyai kepakaran dalam memproses dadah kerana telah terlibat dalam kegiatan ini sejak tahun 1990-an dan pernah ditangkap tiga kali di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, suspek dipercayai memperoleh bahan prekursor dari luar negara dengan bantuan ahli sindiket lain termasuk negara di sebelah timur sebelum digunakan untuk memproses MDMA atau ekstasi di makmal berkenaan.
Beliau berkata, suspek utama turut dikehendaki polis bagi satu kes penculikan manakala hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek yang ditahan positif methamphetamine dan ganja.
Katanya, suspek wanita berusia 32 tahun mempunyai 12 rekod jenayah lampau, termasuk enam kes jenayah dan lima kes dadah, manakala suspek lelaki berusia 35 tahun mempunyai 10 rekod lampau membabitkan satu kes jenayah dan selebihnya kes dadah.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 13 September bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, JSJN turut menyita tiga kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah dengan nilai keseluruhan hampir RM100,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Masih Ada lagi beberapa suspek, ada yang telah melarikan diri ke luar negara. PDRM akan terus menjejaki dan memburu mereka,” katanya. – UTUSAN










