PETALING JAYA: Polis mengesahkan seorang lelaki rakyat Malaysia yang dipercayai cuba menyeludup dadah jenis kokain bernilai RM1.1 juta atau 90.8 juta rupee yang disembunyikan di dalam bagasinya di sebuah lapangan terbang di Sri Lanka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, makumat penahanan lelaki berusia 23 tahun yang berasal dari Selangor itu diterima daripada Police Narcotics Bureau (NB) Sri Lanka berhubung penahanan warganegara Malaysia terbabit.
“Maklumat awal mendapati suspek dipercayai menyeludup dadah berkenaan dengan menaiki penerbangan dari sebuah negara di benua Arab ke Sri Lanka secara bersendirian.
“JSJN percaya suspek tidak bertindak sendirian dan mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diterima daripada NB Sri Lanka, suspek dipercayai menyembunyikan dadah jenis kokain itu di dalam beg galasnya dengan menyorokkannya di dalam tin makanan.
“Modus operandi ini sering digunakan oleh sindiket yang memperdayakan individu untuk bertindak sebagai keldai dadah,” jelasnya.
Terdahulu, portal berita Sri Lanka melaporkan, lelaki warga Malaysia ditahan selepas cuba menyeludup kokain bernilai 90.8 juta rupee (RM1.1 juta) yang disembunyikan dalam bagasinya di BIA, Katunayake di Sri Lanka pada Sabtu lalu.
Suspek dilaporkan diberkas ketika cuba melalui laluan hijau, laluan bagi penumpang yang tidak membawa barangan untuk diisyatiharkan di papangan terbang berkenaan.
Dia dipercayai membeli kokain berkenaan di Malaysia sebelum pergi ke Dubai dan tiba di Katunayake sekitar jam 9.30 pagi (waktu tempatan) dengan menaiki penerbangan Emirates EK-650.
Suspek membawa dadah berkenaan ke Sri Lanka selepas bersetuju menerima ganjaran berjumlah RM10,000.-UTUSAN










