PETALING JAYA: Mangsa penculikan di i-City Shah Alam dekat sini yang diselamatkan dalam tempoh 48 jam kini ditahan selama 60 hari mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 (LLPK) kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap penglibatan lelaki berusia 44 tahun itu dalam rangkaian pengedaran dadah.
Katanya, siasatan akan meneliti beberapa aspek bagi mengenal pasti tahap penglibatannya.
“Ya, kami telah menahan individu terbabit di bawah LLPK selama 60 hari sementara siasatan lanjut dijalankan berhubung kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
“Siasatan akan meliputi beberapa elemen termasuk pergerakan, individu yang mempunyai hubungan dengannya serta sumber pendapatan dan aset yang dimiliki lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, mangsa berusia 44 tahun itu dilaporkan ditahan polis atas alasan terdapat elemen pengedaran dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, polis turut membuat tangkapan baharu membabitkan dua lelaki tempatan berusia 30-an termasuk bekas anggota polis yang dipecat kerana kes dadah pada 2023 dan terbabit dalam kes penculikan mangsa.
Pada 18 Julai lalu, lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30 hingga 46 tahun ditahan tidak sampai 48 jam selepas menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan RM7 juta. – UTUSAN










