KUALA LUMPUR: Penganjuran Malaysia Art Ecosystem Fair (MAEF) 2026 pada 27 hingga 29 November ini dijangka memperkukuh kedudukan seni visual sebagai sebahagian daripada landskap ekonomi kreatif negara.
Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad berkata, MAEF 2026 merupakan inisiatif penting dalam memperluas peranan industri seni visual, bukan sahaja sebagai medium penghasilan karya, malah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kreatif.
Beliau berkata, penganjuran kali ini mengangkat tema ‘ART KL’ yang mencerminkan kesatuan ekosistem seni dinamik, saling berhubung dan mempunyai potensi untuk berkembang lebih jauh.
“MAEF 2026 merupakan satu inisiatif penting Balai Seni Negara dalam memperkukuh kedudukan seni visual sebagai sebahagian daripada landskap ekonomi kreatif negara.
“Pada penganjuran kali ini, MAEF mengangkat tema “ART KL”, yang membawa manifestasi kesatuan sebuah ekosistem seni yang dinamik, saling berhubung dan mempunyai potensi untuk berkembang lebih jauh.
“Kita mahu MAEF menjadi lebih daripada sekadar sebuah acara pameran seni. Kita mahu ia menjadi sebuah platform yang menghimpunkan keseluruhan rantaian industri seni visual, merangkumi artis, galeri swasta dan awam, institusi pendidikan, persatuan seni, pengusaha kreatif, pembekal perkhidmatan serta pelbagai pemain industri yang menyumbang kepada perkembangan seni visual negara,” katanya dalam sidang media MAEF 2026 di Balai Seni Negara, di sini kelmarin.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Balai Seni Negara, Rohana Mohd Yusof; Ketua Program MAEF 2026, Muhammad Hazrin Abdul Malek @ Moktar; Pengarah Galeri Puteh, Nizam Rahmat selaku wakil galeri yang menyertai MAEF 2026.
Pada MAEF 2026, sebanyak 47 pempamer daripada pelbagai sektor ekosistem seni visual negara akan menyertai acara berkenaan, merangkumi galeri seni komersial, artis dan studio seni, kolektif serta persatuan seni visual, muzium dan galeri awam.
Penyertaan turut melibatkan institusi pendidikan, usahawan kreatif, pembekal bahan seni, penerbit serta penyedia perkhidmatan industri bagi memperlihatkan kepelbagaian rantaian ekonomi dalam sektor berkenaan.
Mengulas lanjut, Amerrudin berkata, kekuatan industri seni tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah karya yang dihasilkan atau pameran dianjurkan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira keupayaannya mewujudkan peluang ekonomi dan jaringan profesional.
“Ini kerana kita percaya, bahawa kekuatan sesebuah industri seni tidak hanya diukur melalui jumlah karya yang dihasilkan atau pameran yang dianjurkan, tetapi juga melalui keupayaannya membina peluang ekonomi, mewujudkan jaringan profesional, mengembangkan pasaran dan memastikan kelangsungan kerjaya para penggiat seni,” katanya. – UTUSAN











