SEOUL: Sekumpulan penyelidik di Korea Selatan menggesa pesakit yang mengambil ubat agonis reseptor peptida-1 seperti glukagon (GLP-1) menjalani pemeriksaan mata secara berkala berikutan kemungkinan kaitannya dengan beberapa penyakit retina dan saraf optik.
Pasukan penyelidik diketuai Profesor Oftalmologi Sekolah Perubatan Universiti Cha, Kim Joon-hyung, meneliti bukti klinikal sedia ada mengenai keselamatan penggunaan ubat GLP-1 terhadap kesihatan mata. Hasil kajian itu diterbitkan dalam Journal of Korean Medical Science.
Penggunaan ubat GLP-1 seperti Wegovy dan Mounjaro untuk merawat diabetes jenis 2 dan obesiti semakin meningkat, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan penggunaannya dalam jangka panjang.
Penyelidik meneliti bukti daripada pelbagai kajian termasuk ujian klinikal terkawal secara rawak, kajian pemerhatian, penyelidikan berskala besar mengenai kesan ubat serta penilaian keselamatan oleh pihak berkuasa kesihatan.
Menurut kajian itu, beberapa penyakit mata perlu diberi perhatian dalam kalangan pengguna ubat GLP-1, termasuk kemerosotan awal retinopati diabetik, kerosakan saraf optik akibat kekurangan aliran darah (NAION), degenerasi makula berkaitan usia jenis neovaskular, salur darah retina tersumbat dan glaukoma.
Dapatan kajian menunjukkan retinopati diabetik berkemungkinan mengalami kemerosotan sementara apabila paras gula dalam darah menurun dengan cepat.
Pesakit yang sedia mengalami penyakit itu berisiko lebih tinggi, terutama apabila paras gula dalam darah mereka turun secara mendadak dalam tempoh singkat.
Penyelidik berkata keadaan itu dipercayai lebih berkait dengan perubahan metabolisme badan yang berlaku secara mendadak berbanding kesan toksik langsung ubat GLP-1 terhadap retina.
Pasukan itu menegaskan pemantauan kesihatan mata perlu disesuaikan mengikut keadaan sedia ada dan tahap risiko setiap pesakit.
Joon-hyung berkata, ubat agonis reseptor GLP-1 memainkan peranan penting dalam rawatan diabetes dan obesiti, namun risiko terhadap kesihatan mata perlu dinilai dengan teliti berdasarkan keadaan mata dan tahap metabolisme setiap pesakit.
“Pesakit yang sedia mengalami retinopati diabetik mungkin mengalami perubahan pada keadaan retina apabila paras gula dalam darah menurun dengan cepat. Sebarang kemerosotan penglihatan secara tiba-tiba memerlukan pemeriksaan segera,” katanya.
Kajian itu merupakan penyelidikan pertama yang diterbitkan di Korea Selatan mengenai kaitan penggunaan ubat GLP-1 dengan kesihatan mata dan retina.- AGENSI











