KAMPAR: Suami isteri orang kurang Upaya (OKU) kepada seorang anak yang hidup serba daif menumpang di rumah orang tua mereka di kampung Sungai Lesong Air Kuning di sini, berharap pihak kerajaan dapat membantu membina rumah baharu untuk mereka sekeluarga.
Rozaimy Abdul Raffar, 41, berkata, setakat ini mereka menumpang di rumah emak dan keadaan rumah itu tidak berapa baik dan adik beradik turut tinggal bersama .
“Kami anak-beranak tinggal di sini dalam keadaan serba kekurangan, termasuk bil elektrik dan air pun banyak kali tertunggak dan pernah dipotong,” katanya.
Justeru, Rozaimy berharap ada pihak dapat membantu membina rumah baharu atau mungkin bantuan kerajaan yang ada sekarang ini yang boleh didiami mereka kami anak-beranak.
“Lagipun, saya tiada pendapatan tetap untuk membina rumah sendiri dan hanya mengharapkan hasil jual goreng pisang di tepi jalan yang tidak seberapa pendapatannya.
“Selama ini kalau tidak ada duit, saya bagi anak isteri makan dahulu dan saya tetap makan walaupun lauk kicap dan telur. Saya tidak makan pun tidak mengapa dan saya utamakan isteri anak dahulu,” katanya. – UTUSAN











