MIAMI: Jaguh golf wanita, Thailand, Jeeno Thitikul mencipta sejarah apabila muncul pemain pertama menjuarai Kejohanan Jelajah LPGA tiga tahun berturut-turut selepas menamatkan saingan edisi kali ini dengan kelebihan dua pukulan di Naples, Florida, semalam.
Pemain No.2 dunia itu mencatat tujuh di bawah par 65 tanpa bogey untuk mengumpul keseluruhan 24 di bawah par 264, sekali gus membawa pulang hadiah utama AS$4 juta (RM16.7 juta).
Kejayaan itu turut membolehkan Jeeno memecahkan rekod pendapatan hadiah kerjaya Jelajah LPGA milik legenda Sweden, Annika Sorenstam, yang bertahan selama 25 tahun dengan jumlah AS$22.58 juta (RM93 juta).
Jeeno yang memulakan hari terakhir dengan pendapatan kerjaya AS$20.29 juta (RM83 juta) turut menjadikan kemenangan itu gelaran ke-12 dalam Jelajah LPGA dan kelima musim ini selepas menjuarai LPGA Thailand, Terbuka Mizuho Americas, Portland Classic serta Kejohanan Lotte di Hawaii.
Mengulas kejayaannya, pemain berusia 23 tahun itu mengakui tidak menyangka mampu mengulangi kejayaan berkenaan buat kali ketiga, selain menyifatkan padang Kelab Golf Tiburon sebagai sahabat baiknya.
“Golf adalah keutamaan saya tetapi keluarga sentiasa menjadi nombor satu. Kami mengharungi pelbagai halangan dan kesukaran sebelum orang ramai melihat kejayaan ini, namun perjalanan untuk sampai ke Jelajah LPGA bukanlah mudah,” katanya.
Sementara itu, Aki Iwai dari Jepun menduduki tempat kedua dengan 266 pukulan untuk membawa pulang AS$1 juta (RM4.2 juta), manakala pemain nombor satu dunia dari Amerika Syarikat, Nelly Korda, di tempat ketiga dengan 268 pukulan menerima AS$550,000 (RM2.3 juta).
Pada masa yang sama, pemain Jepun, Miyu Yamashita memenangi Trofi Vare selepas mencatat purata pukulan terendah musim ini, iaitu 69.45.
Kejayaan Jeeno itu sekali gus melakar pencapaian luar biasa dalam kejohanan penutup musim bernilai AS$11 juta berkenaan apabila beliau menjadi pemain pertama memenangi gelaran tersebut tiga tahun berturut-turut. – AGENSI










