PH Sabah sokong Hajiji kekalkan kerjasama GRS-BN-PH

PH Sabah sokong Hajiji kekalkan kerjasama GRS-BN-PH

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menyokong pendirian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk meneruskan kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan PH  dalam kerajaan negeri, demi kestabilan politik Sabah.

Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kestabilan politik merupakan asas penting, bagi memastikan kerajaan negeri dan Persekutuan dapat memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pembangunan, serta penyampaian perkhidmatan yang menjadi keperluan utama rakyat.

“Keutamaan yang paling utama adalah memastikan bekalan air dan elektrik lebih terjamin, jalan raya dibaiki dan projek tebatan banjir siap mengikut jadual,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata, kerjasama antara negeri Sabah dengan kerajaan Persekutuan, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi impak positif kepada Sabah.

Antaranya ialah pemberian khas interim Sabah tahun ini, telah dinaikkan kepada RM1.5 bilion dan hak 40 peratus Sabah tetap diperakui untuk diselesaikan mengikut peruntukan perlembagaan.

Mustapha berkata, kesediaan Ketua Menteri untuk meneruskan kerjasama antara GRS, PH dan BN mencerminkan jiwa besar beliau, dalam menyatukan rakan-rakan yang berbeza pandangan politik.

“Pendirian ini, menunjukkan bahawa kepentingan rakyat Sabah tetap menjadi keutamaan walaupun dalam kerencaman politik yang semakin dinamik,” katanya.

Semalam, Hajiji dilaporkan berkata kerjasama GRS, BN dan PH akan diteruskan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan perkara itu akan dibincangkan untuk mencapai persetujuan bersama. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini