Walaupun nisbah turun tapi hutang negara terus meningkat

Walaupun nisbah turun tapi hutang negara terus meningkat

HUTANG negara perlu diurus dengan berhemah melalui peningkatan hasil dan kawalan perbelanjaan agar tidak terus membebankan ekonomi pada masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBENTANGAN Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu sekali lagi meletakkan isu hutang negara di tengah perbahasan fiskal Malaysia. 

Dengan peruntukan RM459.8 bilion, kerajaan mengunjurkan defisit fiskal mengecil kepada 3.3 peratus dan nisbah hutang Kerajaan Persekutuan menurun kepada 63.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Walaupun memberi isyarat positif kerana membandingkan saiz hutang dengan saiz ekonomi, namun nisbah tersebut hanya menunjukkan kedudukan pada satu masa tertentu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia tidak menunjukkan keupayaan kerajaan membayar hutang atau kos khidmat hutang yang diunjur meningkat 6.5 peratus kepada RM61 bilion. Ia juga tidak menunjukkan struktur pemegang hutang, risiko tersembunyi atau kualiti penggunaan wang yang dipinjam. Oleh itu, kemampanan hutang Malaysia perlu dinilai menggunakan pelbagai penunjuk lain bersama nisbah ini.

Kelemahan pertama ialah nisbah hutang kepada KDNK tidak mengukur keupayaan kerajaan untuk membayar. Hutang dibayar menggunakan hasil kerajaan, bukan menggunakan KDNK. 

Dari sudut ini, kedudukan Malaysia lebih membimbangkan berbanding ditunjukkan nisbah hutang. 

Malaysia dijangka membayar RM61.01 bilion untuk khidmat hutang pada 2027, iaitu kenaikan 6.5 peratus daripada anggaran RM57.3 bilion pada 2026. Jumlah ini menyamai kira-kira 16 peratus daripada hasil kerajaan. Paras ini melebihi ambang 15 peratus yang ditetapkan Kementerian Kewangan. 

Masalah asasnya ialah hasil negara yang rendah. Nisbah hasil kepada KDNK dijangka turun kepada 16.4 peratus pada 2027, manakala hasil cukai kekal pada 12.8 peratus daripada KDNK. 

Dua negara boleh mempunyai nisbah hutang yang sama. Namun, negara yang mempunyai hasil lebih tinggi jauh lebih mampu menanggung hutangnya berbanding negara yang asas hasilnya sempit seperti Malaysia.

Kedua ialah nisbah ini tidak menunjukkan dinamik hutang, iaitu hubungan antara kadar faedah, pertumbuhan ekonomi dan baki primer. 

Nisbah hutang boleh turun hanya kerana ekonomi berkembang, walaupun jumlah hutang terus meningkat. Inilah yang berlaku di Malaysia. 

Hutang Kerajaan Persekutuan terus meningkat kepada RM1.38 trilion pada akhir Jun 2026, walaupun nisbahnya kepada KDNK turun kepada 63.1 peratus. 

Penganalisis juga menegaskan sebahagian besar penurunan nisbah defisit didorong pertumbuhan KDNK nominal, bukan pengurangan perbelanjaan dan pengukuhan fiskal bersih dianggarkan hanya RM1 bilion. 

Ini bermakna penambahbaikan nisbah tersebut bergantung pada prestasi ekonomi. Jika pertumbuhan perlahan, nisbah hutang boleh meningkat semula dengan cepat. Tambahan pula, kos efektif hutang kerajaan kekal sekitar 4 peratus tetapi khidmat hutang sudah menyerap kira-kira 16 peratus daripada hasil kerajaan pusat.

Ketiga ialah nisbah ini tidak mendedahkan struktur dan profil risiko hutang. Dalam aspek ini, Malaysia sebenarnya mempunyai beberapa kekuatan.

Pada akhir Jun 2026, 63.9 peratus hutang Kerajaan Persekutuan mempunyai baki tempoh matang melebihi lima tahun, manakala purata wajaran tempoh matang kekal 9.6 tahun. Pembiayaan domestik pula membentuk 98.8 peratus daripada hutang tertunggak, sekali gus mengehadkan pendedahan kepada turun naik pertukaran asing. 

Namun, terdapat juga risiko yang perlu dipantau. Pemegang asing masih memiliki sebahagian besar sekuriti kerajaan, dengan pemilikan asing dalam MGS sebanyak 34.1 peratus pada Mac 2026. Pemegangan ini boleh berubah dengan cepat. 

Contohnya, pelabur asing menjadi penjual bersih pada suku kedua 2026, dan pemegangan mereka dalam MGS dan GII turun kepada RM278.86 bilion. Keperluan pembiayaan semula juga besar, kerana sekitar RM108.7 bilion Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Indeks Inovasi Global (GII) matang pada 2026. 

Semua maklumat ini langsung tidak kelihatan dalam nisbah hutang kepada KDNK.

Keempat ialah nisbah hutang rasmi hanya mengukur hutang langsung Kerajaan Persekutuan dan tidak mengambil kira liabiliti luar jangka. 

 Jika diambil kira jaminan, Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), jumlah hutang dan liabiliti kerajaan mencecah RM1.76 trilion atau 80.7 peratus daripada KDNK pada akhir Jun 2026.

Ujian tekanan Kementerian Kewangan sendiri menunjukkan jika jaminan kerajaan atau obligasi luar belanjawan lain menjadi tanggungan kerajaan, nisbah hutang boleh melonjak kepada 96.7 peratus daripada KDNK pada 2027. Ini menunjukkan angka 63 peratus mungkin memberikan gambaran yang terlalu selesa.

Kelima ialah nisbah ini tidak menilai kualiti penggunaan hutang. Hutang yang membiayai infrastruktur produktif boleh meningkatkan pertumbuhan masa depan dan seterusnya membantu membayar hutang itu sendiri. Sebaliknya, hutang yang membiayai perbelanjaan harian tidak menghasilkan pulangan sedemikian. 

Di Malaysia, RM376.8 bilion atau 81.9 peratus daripada Belanjawan 2027 diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus, manakala baki RM83 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Perbelanjaan pembangunan dijangka menurun bagi tahun ketiga berturut-turut kepada RM83 bilion pada 2027, bersamaan 3.6 peratus daripada KDNK.

Ruang belanjawan juga semakin terhad kerana kos emolumen, pencen dan bayaran hutang sahaja sudah melebihi RM200 bilion. Jika hutang baharu semakin banyak digunakan untuk membayar perbelanjaan tetap dan bukannya membina kapasiti ekonomi, maka kemampanan jangka panjang akan terjejas walaupun nisbah hutang kelihatan stabil.

Nisbah hutang kepada KDNK hanyalah titik permulaan, bukan penilaian akhir. Untuk menilai kemampanan hutang Malaysia dengan tepat, beberapa penunjuk perlu dilihat bersama. 

Penunjuk tersebut ialah nisbah khidmat hutang kepada hasil, nisbah hasil kepada KDNK, hubungan antara kadar faedah dengan pertumbuhan ekonomi, baki primer, profil tempoh matang dan struktur pemegang hutang, keperluan pembiayaan kasar, liabiliti luar jangka serta komposisi perbelanjaan kerajaan.

 

KELEBIHAN NEGARA

Walaupun begitu, Malaysia mempunyai beberapa kekuatan penting di tengah kemelut geopolitik global. 

Pertama, 98.8 peratus hutang Kerajaan Persekutuan dibiayai secara domestik. Ini melindungi negara daripada kejutan kadar pertukaran asing. 

Kedua, purata tempoh matang hutang ialah 9.6 tahun. Ini mengurangkan risiko pembiayaan semula apabila kadar faedah global meningkat.

Ketiga, sebahagian besar hutang dipegang oleh institusi tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan bank domestik. Institusi ini menjadi penampan apabila pelabur asing menarik keluar dana. 

Keempat, ekonomi Malaysia yang pelbagai, khususnya sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan, terus menyokong perdagangan walaupun persaingan kuasa besar semakin sengit.

Namun, gambaran keseluruhannya masih bercampur. Asas hasil yang sempit, kos khidmat hutang yang melebihi ambang 15 peratus dan liabiliti luar jangka yang besar menunjukkan bahawa ruang fiskal negara lebih terhad daripada apa yang ditunjukkan oleh nisbah 63 peratus.

Oleh itu, kekuatan struktur ini perlu disokong oleh pembaharuan hasil dan disiplin perbelanjaan supaya Malaysia kekal berdaya tahan menghadapi ketidaktentuan masa depan. –UTUSAN

 

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Timbalan Pengerusi, Forum Ekonomi Manusiawi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini