JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dijadual mengemukakan dua nama calon bagi mengisi jawatan Naib Presiden kepada Parlimen hari ini, lapor agensi berita Antara.
Laporan itu memetik Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Daerah, Sohibul Iman yang mengesahkan perancangan Prabowo untuk hadir ke Parlimen bagi menyerahkan nama calon berkenaan.
Bagaimanapun, identiti kedua-dua calon itu masih belum didedahkan.
Perkembangan itu susulan peletakan jawatan Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden selepas berdepan tekanan politik selama beberapa minggu berhubung kes undang-undang yang mempertikaikan kelayakannya memegang jawatan berkenaan.
Gibran ialah anak kepada bekas Presiden, Joko Widodo yang masih mempunyai pengaruh besar dalam politik Indonesia.
Jawatan Naib Presiden di negara itu lazimnya dilihat lebih bersifat istiadat, dengan Gibran sebelum ini tidak banyak terbabit dalam proses membuat keputusan kerajaan.
Penganalisis berpendapat, pemilihan pengganti Gibran boleh memberikan gambaran mengenai hala tuju strategi politik Prabowo ketika pentadbirannya berdepan kemerosotan kadar sokongan.
Penurunan sokongan itu dikaitkan dengan kebimbangan rakyat terhadap keadaan ekonomi dan dasar kerajaan pimpinannya.
Jurucakap pejabat Presiden berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada media mengenai kehadiran Prabowo ke Dewan Perwakilan Daerah sebaik sahaja perkara itu disahkan.
Peletakan jawatan Gibran awal bulan ini secara meluas dilihat sebagai petanda keretakan hubungan politik antara Prabowo dengan bekas presiden dua penggal, Joko Widodo atau Jokowi, sekali gus membuka kemungkinan berlakunya perubahan besar dalam landskap politik Indonesia.
Parlimen dijadual memilih Naib Presiden baharu menerusi sidang pleno pada 11 Disember ini selepas meneliti kelayakan kedua-dua calon yang dikemukakan.











